Mesyuarat pertama MPI sentuh program 2018 termasuk Malam Wartawan Malaysia

1 Mac – Bertempat di Restaurant Rebung Chef Ismail, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur berlangsungnya mesyuarat pertama Ahli Majlis Pentadbir bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah bagi membincangkan program yang dirancang bagi tahun 2018.

Mesyuarat yang sepatutnya diadakan pada 8 Februari telah ditunda berikutan berlangsungnya Hari Pers Nasional di Padang Indonesia yang membabitkan sebilangan besar ahli mesyuarat MPI yang terdiri daripada Ketua-Ketua Pengarang mengikuti program tahunan anjuran ISWAMI itu.

Antara yang hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah – Datuk Mustapa Omar dan Dato’ Haji Ibrahim Abdul Rahman; manakala Ahli Majlis Pentadbir – Tuan Haji Ainol Amriz Ismail, Encik Choo Joon Kian dan Encik Foo Tick Fat. Wakil The STAR yang baharu, Encik Brian Martin turut hadir menjayakan mesyuarat tersebut.

Pelantikan Encik Brian Martin dicadangkan oleh Ketua Pengarang STAR Media Group, Datuk Leanne Goh setelah wakil terdahulu, Dr. T Selva memutuskan untuk mengambil persaraan awal pada akhir Disember tahun lalu.

Pengerusi mesyuarat, Datuk Dr. Chamil Wariya memaklumkan antara program terdekat yang bakal dilangsungkan adalah Workshop Disaster Reporting; Sports Reporting Workshop for Sabah/Sarawak dan Kursus Media dan PIlihanraya Umum. Manakala program khas bakal menganjurkan Forum Media dan Komunikasi Menjelang PRU-14 dengan kerjasama Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia pada 5 April ini.

Selain beberapa anugerah seperti HKM 2017 yang telah pun ditutup penyertaannya; menyusul beberapa anugerah kewartawanan baharu yang melibatkan MPI sebagai Sekretariatnya iaitu Anugerah Media MITI pada 29 Mac ini serta Anugerah Media SSM yang dijangka majlis penyampaiannya selepas Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau “pelbagai program telah dirancang dan saya memohon agar ahli mesyuarat dapat menghantar peserta dalam kalangan media bagi mengikuti program-program tersebut.”

Beralih kepada penganjuran acara tahunan MPI iaitu Malam Wartawan Malaysia, ahli mesyuarat telah sepakat untuk mengadakan selepas selesai Pilihanraya Umum ke-14.

Chamil turut memaklumkan “hasil perbincangan dengan pihak PETRONAS pada Februari yang lalu, MPI telah memohon penajaan bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun mulai HKM 2017 – HKM 2019. Pegawai PETRONAS turut memaklumkan bagi penajaan HKM 2017 peruntukan untuknya telah pun disediakan”.

 

Rakaman gambar-gambar:

1. Datuk Dr. Chamil Wariya (tengah) menyampaikan ucapan alu-aluannya. Turut kelihatan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI – Dato’ Hj Ibrahim Abdul Rahman (kiri) dan Datuk Mustapa Omar (kanan sekali).
2. Ahli mesyuarat kelihatan serius membincangkan agenda yang dibangkitkan di dalam mesyuarat. Turut kelihatan Encik Choo Joon Kian (kemeja merah); Tuan Haji Ainol Amriz Ismail; Encik Foo Tick Fat dan Encik Brian Martin.
3. Pelbagai aksi spontan ahli mesyuarat dirakamkan oleh jurukamera MPI.