MITI perkenal Anugerah Media MITI 2018

23 Februari – Malaysian Press Institute (MPI) dilantik sebagai Sekretariat Penghakiman Anugerah Media MITI 2018 oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Pengurus Kanan MPI, Norlida Jamain berkata “hasil perbincangan dan rundingan dengan pihak MITI akhirnya membuahkan hasil positif apabila kertas kerja yang diserahkan kepada pihak MITI melalui Unit Komunikasi Strategik mendapat kelulusan Ketua Setiausaha MITI untuk dianjurkan.

Tambahnya,“rundingan dan perbincangan yang dibuat sejak awal Januari yang lalu akhirnya dapat dilaksanakan menerusi rundingan akhir yang telah berlangsung pada pagi ini bertempat di Bilik Mesyuarat Perolehan, Aras 24, MITI di Jalan Duta.”

Bagi tahun pertama pelaksanaan Anugerah Media MITI 2018 hanya empat kategori dipertandingkan iaitu dua kategori untuk media cetak dan portal berita – mempertandingkan rencana terbaik dan eksklusif; dan dua lagi kategori untuk media penyiaran televisyen dan video portal berita mencari karya terbaik untuk berita terbaik dan laporan khas terbaik.

Anugerah Rakan Media MITI turut diberikan sebagai penghargaan kepada mana-mana pertubuhan media cetak dan media elektronik yang memberikan sokongan menerusi publisiti dan pelaporan berita yang berterusan kepada pihak Kementerian.

Majlis penyampaian anugerah dijadualkan berlangsung pada akhir Mac 2018 bertempat di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Norlida turut menggesa rakan-rakan media untuk mengambil peluang dan kesempatan yang diberikan oleh pihak MITI dengan menghantar karya-karya kewartawanan masing-masing kepada MPI selewat-lewatnya pada 16 Mac 2018.

 

Pautan :

Borang Penyertaan
Syarat Penyertaan