MPI bantu DBP anjur Kembara Bahasa Media

Bersempena dengan Bulan Kebangsaan yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran bakal menganjurkan Kembara Bahasa Media pada 21 Oktober 2017.

Kehadiran Puan Aninah Janang, Puan Siti Irin dan Puan Haziah yang mewakili DBP ke MPI pada 7 September yang lalu menyatakan hasrat untuk melantik MPI menjayakan penganjuran Kembara Bahasa Media yang mensasarkan penyertaan dalam kalangan media yang merupakan medium tepat dalam penyebaran bahasa kebangsaan.

Bertemakan Bahasa Jiwa Bangsa, kembara bahasa media bakal menguji ketahanan mental dan fizikal peserta yang dikehendaki melengkapkan setiap tugasan yang diberikan dari satu lokasi ke lokasi yang lain mencakupi tujuh lokasi yang dicadangkan sebelum dinobatkan sebagai pemenang pertama.

Menurut Aninah “MPI merupakan satu platform terbaik untuk menghebahkan penganjuran Kembara Bahasa Media dalam usaha penyatuan pelbagai pertubuhan media bagi menyemarakkan lagi semangat kecintaan bahasa kebangsaan. Ini merupakan antara kegiatan yang bakal dilaksanakan sempena bulan bahasa dan diharapkan mengeratkan lagi hubungan antara DBP dan pengamal media Malaysia”.

Tambah Aninah, “DBP mensasarkan sebanyak 20 kumpulan untuk menyertai Kembara Bahasa Media, setiap kumpulan disertai oleh dua orang peserta lelaki dan dua orang peserta wanita. Bagi melayakkan penyertaan, setiap peserta perlulah mengemukakan salinan pemegang kad media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia”.

MPI yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Chamil Wariya menyambut baik hasrat DBP dan menyatakan kesediaan untuk membantu menjayakan penganjuran program tersebut.

Rangkuman gambar mesyuarat :

Gambar kiri: Puan Haziah, Puan Siti Irin dan Puan Aninah Janang hadir ke MPI bagi membincangkan penganjuran Kembara Bahasa Media. Gambar kanan: Kelihatan Puan Norlida (kiri sekali) dan Datuk Dr. Chamil Wariya bergambar kenangan bersama Team DBP setelah selesai bermesyuarat.
Gambar kiri: Puan Haziah, Puan Siti Irin dan Puan Aninah Janang hadir ke MPI bagi membincangkan penganjuran Kembara Bahasa Media.

Gambar kanan: Kelihatan Puan Norlida (kiri sekali) dan Datuk Dr. Chamil Wariya bergambar kenangan bersama Team DBP setelah selesai bermesyuarat.