MPI bawa program Thomson Foundation ke Malaysia

Sukacita dimaklumkan bahawa Malaysian Press Institute akan menganjurkan program kewartawanan Thomson Foundation, sebuah pusat latihan kewartawanan terkemuka di United Kingdom pada 7 hingga 11 Oktober 2019.

Program pertama dengan tema Elementary Journalism and Storytelling for Journalists  ini dikhaskan untuk para wartawan muda yang baru yang baharu menjadikan kewartawanan sebagai kerjaya pilihan masing-masing.

Keutamaan akan diberikan kepada wartawan yang baharu menceburi bidang itu yang kelulusan akademik mereka bukan dalam bidang kewartawanan, media atau komunikasi.

Program ini juga terbuka kepada pegawai-pegawai perhubungan awam dan pengamal bidang komunikasi korporat di sektor awam dan swasta.

Tempat yang terhad juga akan disediakan kepada sebilangan pelajar kewartawan, media dan komunikasi di institut pengajian tinggi awam dan swasta yang ingin menjadikan wartawan sebagai kerjaya selepas menamatkan pengajian masing-masing.

Selain itu, para bloggers dan pengamal media sosial lain yang ingin mendalami bagaimana untuk menghasilkan karya-karya dengan menggunakan pakai prinsip-prinsip kewartawanan yang baik untuk blog dan halaman web masing-masing juga dipelawa untuk menyertai program ini.

Tempat untuk 25 orang peserta akan disediakan bagi program asas latihan kewartawanan ini.

Tiada bayaran dikenakan bagi mereka yang terpilih untuk mengikuti latihan selama lima hari yang akan diadakan di Language House, Petaling Jaya ini. Yuran pengajian sebanyak RM1400 akan ditanggung sepenuhnya oleh MPI menerusi penajaan yang telah diperolehinya.

Program akan dikendalikan oleh seorang wartawan berpengalaman United Kingdom, Tim Robinson.

Beliau merupakan Pengarah Pembangunan Kandungan Kumpulan JPI Media UK yang merupakan salah sebuah penerbit multimedia terbesar di negara itu. Lihat biodata untuk maklumat lanjut.

Kandungan program lima hari ini sedang dirangka oleh Tim Robinson dan akan diedarkan sebaik sahaja diterima.

Pemohon juga diminta untuk menyertakan maklumat latar belakang pendidikan, pengalaman kerja (jika ada) dan bagi mereka yang sedang belajar, mereka dikehendaki menulis esei ringkas (tidak melebihi 300 perkataan) menerangkan mengapa mereka berminat untuk mengikuti program ini.