MPI cadang tambah hadiah kepada pemenang Anugerah Media Kesihatan

Kenyataan Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya sempena Malam Anugerah Media Kementerian Kesihatan Malaysia pada 20 April 2016 di Eastin Hotel Kuala Lumpur jam 8 malam

Malam ini satu sejarah tercatat. Majlis Anugerah Media Kementerian Kesihatan yang berlangsung pada malam ini ialah kali ke-10 ia dianjurkan. Ini bermakna anugerah ini sudah berusia satu dekad.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan kerana secara berterusan telah mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan kesihatan yang telah dihasilkan oleh para pengamal media di negara ini sejak ia pertama kali dianjurkan pada 2006.

Semoga penganjuran program yang baik ini akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang, kali ini dengan menawarkan ganjaran hadiah yang lebih tinggi berbanding dengan apa yang ditawarkan sejak 10 tahun lalu.

Dan kalau boleh, MPI ingin mencadangkan supaya hadiah wang tunai sedia ada dinaikkan, tetapi bukanlah sebesar ganjaran yang diberikan kepada para pemenang pingat di Olimpik. Cukuplah sekadar RM5,000 kepada pemenang pertama; RM3,000 bagi tempat kedua dan RM2,000 untuk tempat ketiga. Sekiranya dinilai bahawa karya-karya yang menyertai anugerah itu tidak layak memenangi tiga hadiah utama, maka hadiah sagu hati bernilai RM1,500 bolehlah dipertimbangkan.

Insya-Allah MPI secara rasmi akan mengutus surat kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengesyorkan kenaikan hadiah-hadiah ini. Saya percaya Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Dato’ Seri Ketua Setiausaha yang hadir bersama kita pada malam ini, tidak keberatan untuk menimbang cadangan MPI ini kelak. Terima kasih Datuk Seri. Tetapi jika Datuk Seri ingin menawarkan hadiah yang lebih besar daripada apa yang telah dicadangkan, kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan.

Saya ingin memaklumkan bahawa penyertaan yang diterima bagi Anugerah Media Kesihatan 2016 ini adalah amat membanggakan. Sebanyak 323 penyertaan diterima bagi anugerah tahun ini iaitu jumlah tertinggi sepanjang penganjurannya.

Tahun lalu, 2015, sebanyak 239 penyertaan diterima, berbanding 224 penyertaan pada 2014, 205 penyertaan pada 2013, 169 penyertaan pada 2012 dan 154 penyertaan pada 2011.

Peningkatan kuantiti, juga seiring dengan peningkatan kualiti dalam karya-karya yang dihasilkan. Para juri yang menilai penyertaan Anugerah Media Kesihatan sependapat dari segi pemilihan topik, membina kandungan, pengumpulan maklumat untuk dijadikan bahan berita atau penulis rencana bagi media cetak iaitu akhbar dan majalah, serta program TV bagi tahun ini adalah jauh lebih mantap berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tidak ada karya yang dianggap sambil lewa atau cincai.

Para hakim mengadu kesukaran untuk memilih pemenang; malah markah yang membezakan antara mereka yang menang dan tidak menang sebenarnya adalah amat kecil. Mereka juga mengesan bahawa dalam kalangan para peserta yang menyertai Anugerah Media Kementerian Kesihatan ini telah muncul sekumpulan wartawan yang nampaknya menjadikan bidang kesihatan sebagai lapangan pengkhususan mereka.

Karya-karya yang dihasilkan mencerminkan kepakaran mereka itu, tentunya dengan bantuan pakar-pakar perubatan dan kesihatan Kementerian Kesihatan tentunya. Saya kira inilah sumbangan besar anugerah ini ialah melahirkan penulis-penulis yang mahir selok belok isu-isu kesihatan dengan menyampaikan mesej berkait kesihatan dengan cara yang mudah difahami oleh golongan sasaran atau audiens media masing-masing.

Jadi tidaklah menghairankan, kalau ada antara mereka yang bakal naik ke pentas sebentar lagi, merupakan nama-nama dan wajah-wajah yang juga pernah merangkul kemenangan pada tahun-tahun sebelumnya.

Cuma dalam kalangan juri radio dan televisyen, terdapat sedikit rasa terkilan dengan promo kesihatan yang dihasilkan oleh kedua-dua medium itu; yang nampaknya masih berada ditakuk lama. Para juri promo radio dan TV berharap, pihak produksi akan melakukan lebih banyak inovasi dalam pembikinan promo kesihatan pada masa-masa akan datang.

Apa yang lebih membanggakan ialah penyertaan akhbar-akhbar Tamil yang tahun-tahun sebelumnya agak mengecewakan, juga amat memberangsangkan kali ini. Tentunya kita berterima kasih kepada Encik Devaraj dari Unit Komunikasi Korporat KKM yang telah menghubungi sendiri rakan-rakan editor pelbagai penerbitan Tamil untuk menghantar penyertaan masing-masing.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan syabas kepada pegawai-pegawai Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya; dan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia umumnya atas daya usaha yang telah diambil untuk menganjurkan anugerah ini. Kepada para pemenang yang akan menerima hadiah masing-masing sebentar lagi, tahniah diucapkan.

Terima kasih.