MPI hargai khidmat bakti Dato’ Dr. Rothiah Haji Omar

Malaysian Press Institute (MPI) menzahirkan penghargaan atas khidmat dan bakti yang telah dicurahkan oleh Dato’ Dr. Rothiah Haji Omar selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI selama tujuh tahun sejak institut itu diinstitusikan sebagai sebuah yayasan pada 2007.

Penghargaan itu dizahirkan sendiri oleh Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya pada pertemuan dengan Dato’ Dr. Rothiah di pejabat beliau di Kementerian Pertahanan pada pagi 6 Januari 2015.

Pada majlis itu, Chamil turut menyerahkan sijil penghargaan kepada beliau yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan Malaysia.

Senaskah buku terbaharu terbitan MPI berjudul Strategi Pemujukan Najib Razak Dalam Komunikasi Politik karangan Chamil turut dihadiahkan kepada beliau sebagai tanda kenangan dan penghargaan MPI.

Dato’ Dr. Rothiah menganggotai Lembaga Pemegang Amanah MPI mewakili Kementerian Komunikasi dan Multimedia (sebelum itu Kementerian Penerangan dan Kementerian Penerangan, Komunkasi dan Kebudayaan) atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Ketua Setiausaha yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal penerangan di kementerian itu.

Bagaimanapun pada pertengahan 2014, beliau berpindah ke Kementerian Pertahanan.

Berikutan perpindahan kementerian itu, beliau turut meletakkan jawatan sebagai Pemegang Amanah MPI, berkuat kuasa pada akhir 2014.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia kini diwakili oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah.

Datuk Ibrahim juga adalah Ahli Majlis Pentadbir MPI.

Pelantikan Datuk Ibrahim berkuat kuasa 1 Januari 2015 dan dipersetujui oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

MPI adalah sebuah yayasan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 yang ditugaskan untuk mengendalikan kursus-kursus kewartawanan dan kenegaraan oleh media arus perdana Malaysia untuk para pengamal media, selain penganjuran Malam Wartawan Malaysia setiap tahun untuk menyampaikan Hadiah Kewartawanan Malaysia tajaan Petronas.

Sebelum itu, MPI yang ditubuhkan pada 1974 merupakan sebuah entiti yang berdaftar sebagai sebuah pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1960.

Kerajaan Malaysia, menerusi Jabatan Penerangan Malaysia. Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyalurkan geran tahunan bernilai RM200,000 untuk membiayai kegiatan dan kos operasi MPI.

Apabila MPI dinaik taraf menjadi yayasan pada 2007, ia telah meningkatkan kegiatannya dalam bidang latihan dengan memperkenalkan dua program utama iaitu MPI International Journalism Fellowship (IJF) pada 2008 dan Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia yang diperkenalkan pada 2012.

Satu geran khas RM5 juta secara sekali pemberiaan (one off) disalurkan kepada MPI untuk melaksanakan kedua-dua program tersebut.

Serentak dengan itu, pihak Kementerian Penerangan melantik Chamil yang ketika itu bertindak sebagai Pemangku Pengerusi MPI sebagai Ketua Eksekutifnya.

Di bawah IJF, 25 orang wartawan muda dunia membangun mengikuti program latihan kewartawanan selama sebulan di Malaysia, dibimbing oleh para veteran berpengalaman dan ahli akademik dalam dan luar negara.

IJF dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 2008.

Menerusi Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia pula, para wartawan berusia di bawah 30 tahun didedahkan dengan latihan kewartawanan yang memberi penekanan kepada aspek kenegaraan.

Dato’ Dr. Rothiah, selaku Pemegang Amanah MPI antara 2007 hingga 2014 adalah antara tokoh yang bertanggungjawab menginspirasikan dua program besar MPI itu dan memantau kejayaan pelaksanaannya sehingga membantu MPI dikenali dalam kalangan dunia membangun sebagai sebuah pusat latihan kewartawanan yang unggul.

Pada pertemuan dengan Dato’ Dr. Rothiah, Chmil mewakili Pemegang Amanah dan Majlis Pentadbir MPI mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam tugasnya di Kementerian Pertahanan dan berharap hubungan beliau yang terjalin mesra dengan kerabat kerja MPI akan berterusan pada masa-masa akan datang.

Pada pertemuan itu, Chamil memaklumkan“MPI senantiasa terbuka untuk menerima apa juga cadangan bernas Dato’ Dr. Rothiah. Kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan.”

1. Dato’ Dr. Rothiah secara rasmi menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI.

2. Chamil (kanan) menyerahkan Sijil Penghargaan kepada Dato’ Dr. Rothiah atas khidmat dan bakti yang telah dicurahkan kepada MPI selama tujuh tahun antara 2007 hingga 2014.

3. Dato’ Dr. Rothiah tersenyum bangga kerana khidmat beliau kepada MPI dihargai dan dikenang.