MPI hargai sokongan korporat dan kerajaan

Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)  pada majlis penyerahan sumbangan/tajaan Malam Wartawan Malaysia pada 16 Mac 2012 di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur, jam 10.30 pagi.

Terlebih dahulu, bagi pihak rakan-rakan dalam Majlis Pentadbir Malaysian Press Institute (MPI),saya mengucapkan selamat datang kepada YBhg Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan ke majlis penyerahan sumbangan dan penajaan bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2012.

InsyaAllah majlis ini akan diadakan di hotel ini pada 30 Mac 2012 jam 8 malam. Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Razak, melalui  Ketua Setiausaha Sulit dan Setiausaha Akhbarnya sudahpun mengesahkan kehadirannya.

Saya juga ingin menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana penganjuran Malam Wartawan Malaysia ini, sama seperti sejak ia pertama kali diadakan pada 1980 terus mendapat sokongan dan dokongan yang mantap dari badan-badan korporat – besar dan kecil, agensi-agensi kerajaan – Persekutuan dan negeri.

Alhamdulillah sehingga hari ini, 47 entiti korporat dan agensi kerajaan telah menjanjikan sumbangan dan penajaan bernilai RM357,000.00 untuk menjadikan Malam Wartawan Malaysia yang sudah berusia 32 tahun, satu kenyataan.

Sebahagian daripada penaja dan penyumbang itu sudi melapangkan waktu berharga mereka untuk menyampaikan sendiri penajaan dan sumbangan bagi pihak organisasi masing-masing pada pagi ini.

Kepada mereka khususnya dan juga kepada yang tidak dapat hadir pada majlis ini, saya, bagi pihak MPI, ingin mememanjangkan penghargaan mendalam dan rasa terima kasih yang tidak terhingga di atas sumbangan dan penajaan yang dihulurkan.

Tanpa sokongan anda, Malam Wartawan Malaysia ini tidak akan dapat bertahan begitu lama.

Seperti yang kita sama-sama maklum, Malam Wartawan Malaysia ini dianjurkan  oleh MPI bagi pihak industri berita negara untuk meraikan para wartawan yang telah menghasilkan karya-karya kewartawanan yang diiktiraf cemerlang sepanjang 2011 menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS (HKM).

Berdasarkan penyertaan yang kita terima tahun demi tahun, tidak dapat disangkal lagi bahawa HKM sebagai hadiah kewartawanan tertua di negara ini terus mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segi penyertaan.

Apa yang membanggakan, kualiti produk kewartawanan yang dinilai juga turut meningkat.

Sukacita saya melaporkan bahawa bagi edisi 2011, seramai 255 wartawan telah mengemukakan karya-karya mereka untuk dinilai bagi 12 kategori yang dipertandingkan.

Barangkali hadiah lumayan iaitu wang tunai sebanyak RM300,000.00 menjadi pendorong terhadap peningkatan itu.

Bilangan itu adalah pertambahan sebanyak 57 berbanding HKM 2010 yang mencatatkan penyertaan 198 orang wartawan.

Datang malam 30 Mac ini, 12 daripada 255 orang itu akan diisytiharkan sebagai pemenang dan setiap seorang daripada mereka akan membawa pulang RM15,000.00. Pemenang hadiah utama pula iaitu Hadiah Kajai akan meraih RM30,000.00 dan sekeping syiling emas seberat 50 gram yang mengikut harga pasaran semasa nilainya RM7,000.00.

Untuk mengetahui siapakah para wartawan cemerlang sepanjang 2011 itu kita kenalah tunggu pada  30 Mac kerana pada waktu ini sebuah panel penilai bebas yang terdiri daripada ahli-ahli akademik dalam bidang kewartawanan dan komunikasi serta wartawan veteran berpengalaman yang tidak terikat dengan mana-mana organisasi berita sedang meneliti karya-karya itu.

Terima kasih.

Dikeluarkan oleh

Ketua Pegawai Eksekutif MPI

16 Mac 2012