Kursus
MPI raikan Leni Latif

MPI raikan Leni Latif

Pada awal 2009, perunding latihan Malaysian Press Institute (MPI), Puan Maimunah Rashid, memperkenalkan MPI kepada dua orang pegawai penerangan Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Leni Latif dan bosnya, Tina Malone bagi membincangkan kemungkinan menganjurkan program latihan bersama.

Hasilnya, kolaborasi pertama dalam bidang latihan antara MPI dan Kedutaan Amerika Syarikat  menjadi kenyataan tidak lama selepas itu dalam bentuk penganjuran Bengkel Pelaporan mengenai antipemerdagangan orang dan antipenyeludupan migran atau ATIPSOM di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Bengkel itu bertujuan untuk mendedahkan para wartawan dengan isu-isu berkaitan pemerdagangan orang dan penyeludup migran dan bagaimana mereka boleh melaporkan isu-isu tersebut dengan persepektif yang betul.

Hal ini dirasakan penting kerana terdapat kekeliruan dalam melaporkan isu tentang apa yang dipanggil sebagai penghambaan moden di negara ini.

Dalam menjayakan program tersebut, sebilangan agensi kerajaan turut terlibat sebagai penceramah. Antaranya Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Majlis Perdagangan Orang (MAPO), Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imegresen.

Bengkel ATIPSOM itu kemudiannya menjadi program tahunan MPI dan Kedutaan Amerika Syarikat dan diadakan di seluruh negara – di Kota Kinabalu (2011), Kota Bharu (2013), Johor Bharu (2014), Kuching (2015, Alor Setar (2016) dan Tawau (2017).

Lebih seratus orang wartawan telah menghadiri program-program tersebut.

Pada 2018, program ATIPSOM digantikan dengan bengkel tentang Reporting on Countering Violent Extremism (CVE) and Radicalisation Leading to Terrorism yang telah diadakan di Melaka pada September 2018 dan Kota Bharu pada Oktober tahun yang sama.

Kedutaan Amerika Syarikat juga menaja beberapa program lain dengan MPI seperti Bengkel Penulisan Naratif dengan Profesor Janet Steele sebagai penceramah; bengkel kerjasama keselamatan di Kuching.

Sekalipun antara 2009 hingga 2018 itu, bos Leni Latif di Kedutaan Amerika Syarikat telah bertukar beberapa kali, beliau kekal sebagai jambatan yang kukuh antara MPI dengan kedutaan tersebut dalam penganjuran program-program latihan secara bersama.

Justeru, apabila Leni membuat keputusannya untuk menamatkan perkhidmatan 28 tahunnya dengan Kedutaan Amerika Syarikat berkuatkuasa pada Julai 2020, MPI sebenarnya kehilangan seorang rakan yang telah banyak membantu mengeratkan hubungan MPI dengan kedutaan tersebut.

Sebagai tanda penghargaan, MPI telah meraikan Leni Latif pada satu majlis makan tengah hari di Restoran Puteri di Sungai Pencala pada 7 Ogos 2020 lalu.

Kepada Leni, MPI mengucapkan selamat “bersara” daripada perkhidmatan dengan Kedutaan Amerika Syarikat dan maju jaya dalam apa juga kerjaya baharu yang akan diceburi selepas ini.

MP juga beruntung kerana kerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat yang telah dirintis oleh Leni Latif dan Tina Malone akan diteruskan.