MPI Raikan Penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2014

Hampir 100 orang wakil dari pelbagai syarikat korporat, badan kerajaan dan pertubuhan media yang menyumbang bagi menjayakan majlis Malam Wartawan Malaysia 2014 pada April lalu diraikan dalam satu majlis apresiasi anjuran Malaysian Press Institute (MPI) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 18 September 2014.

Wakil-wakil penyumbang yang hadir adalah dari PETRONAS (penaja Hadiah Kewartawanan Malaysia 2013), DRB-HICOM Berhad, MRCB, Technology Park (M) Corp., FRIM, DagangHalal Berhad, Dewan Bahasa & Pustaka, BERNAMA, STAR Publications, Berita Publishing, Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Sunway, MIDA, 1MDB, HCK Media Sdn Bhd, Pharmaniaga Bhd, SME Bank, Clixster Mobile, Ekuiti Nasional, Universiti Utara Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Indah Water Konsortium, Malaysia Airports Holdings Berhad, Felda Global Ventures, TV Al-Hijrah, Permodalan Nasional Bhd, Tenaga Nasional Berhad, Celcom Axiata, RHB Banking Group, AMBANK Group, MAYBANK, PIDM, EXIM Bank, Bank Rakyat, Sime Darby Plantation Sdn Bhd, SCOMI Group dan Johor Corporation.

Syarikat SYABAS, Suria KLCC Sdn Bhd, Bank Simpanan Nasional, NCB Holdings Bhd, Syarikat Perumahan Negara Bhd dan Pejabat Menteri Besar Perak pada mulanya turut mengesahkan kehadiran wakil masing-masing tetapi atas sebab yang tidak dapat dielakkan pada saat akhir mereka tidak dapat hadir di majlis tersebut.

Secara keseluruhan, 68 entiti korporat,  kementerian dan jabatan kerajaan serta kerajaan negeri telah menyumbang dalam menjayakan Malam Wartawan Malaysia bagi tahun 2014. Nilai sumbangan mereka ialah RM449,500.00.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya dalam ucapan ringkasnya menyatakan sumbangan daripada pihak-pihak berkenaan amat besar maknanya kepada seluruh warga wartawan sebagai tanda sokongan mereka terhadap perkembangan dan kemajuan bidang kewartawanan tanahair.

Sumbangan dan sokongan itu amat dihargai dan diharapkan dapat berterusan pada masa akan datang.  Sebelum mempelawa tetamu menikmati hidangan makan tengah hari, Datuk Chamil memaklumkan tiada aturcara rasmi dalam majlis tersebut melainkan hanyalah jamuan makan sambil beramah mesra dalam suasana santai agar hubungan baik antara pihak korporat, badan kerajaan dan editor media yang telah sedia terjalin dapat dieratkan lagi.

Menepati apa yang disampaikan oleh Datuk Chamil dalam ucapannya, para tetamu dilihat ceria bertanya khabar dan berinteraksi terutama bersama editor-editor media yang jarang sekali mereka berpeluang bertemu muka.

Antara peneraju editorial yang hadir untuk memeriahkan majlis itu ialah:  Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zulkefli Salleh,  Ketua Pengarang Kanan The Heat dan Focus Malaysia, Chong Cheng Hai, Timbalan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab, Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin, Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Azman Anuar, Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, Mikhail Raj Abdullah, Pengarang Eksekutif The Star, Errol Oh Boon Peng.

Selain Datuk Chamil dan staf MPI, turut hadir ialah Ahli Majlis Pentadbir MPI iaitu Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang juga Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia dan Tuan Syed Agil Syed Jaafar, Pengurus Jabatan Pengarang, Kumpulan Utusan.

Petronas selaku penaja Hadiah Kewartawanan Malaysia 2013, diwakili oleh Pengurus Besar Komunikasi Luaran, Komunikasi Strategik Kumpulan, Encik Suhaimy Kamaruddin dan dua orang eksekutif medianya Puan Mona Fairuz Nordin dan Noor Aina Asraf.

Tetamu yang hadir  mengucapkan terima kasih kepada MPI kerana sudi menganjurkan majlis penghargaan seperti ini dan tanpa ragu-ragu,  sesetengah mereka sudahpun menyatakan kesediaan menyumbang lagi pada tahun hadapan.

Majlis diakhiri dengan para tetamu merakamkan kenangan bergambar beramai-ramai yang dikendalikan oleh jurufoto-jurufoto media.

Malam Wartawan Malaysia yang diadakan untuk menyampaikan Hadiah Kewartawanan Malaysia yang diadakan setiap tahun sejak 1980 merupakan perhimpunan terbesar golongan wartawan dan komuniti perhubungan awam, komunikasi korporat dan para pemimpin korporat.

Hampir 1,000 orang hadir untuk memeriahkan malam tersebut yang turut dihadiri oleh tetamu kehormat, lazimnya Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Hadiah Kewartawanan Malaysia menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM300,000.00 setiap tahun, tajaan Petronas.

1. Para tetamu sedang mengambil hidangan pada Majlis Apresiasi MPI di Seri Pacific Hotel di Kuala Lumpuar pada 18 April 2014.

2. Antara tetamu VIP dari kiri: Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, Syed Anuar (Ambank), Datuk Zulkefli Salleh (Ketua Pengarang Bernama), Datuk Baharom Mahusin (Pengarang Kosmo!) dan Chong (Daganghalal).

3. Mikhail Raj Abdullah, pengarang perkhidmatan berita ekonomi Bernama (kanan) melayan tetamu bertuah yang makan semeja dengannya.

4. Chamil (berdiri) melayan tetamu dari Maybank.

5. Zulkefli Hamzah (Penolong Pengarang Utusan Malaysia), Syed Agil Syed Jaafar (Ahli Majlis Pentadbir MPI) bersama rakan-rakan korporat.

6. Tetamu yang hadir menikmati hidangan pilihan masing-masing.

7. Empat orang tetamu berposing untuk kenangan.

8. Para wakil penyumbang yang hadir bergambar kenangan beramai-ramai bersama Datuk Chamil Wariya dan Encik Suhaimy Kamaruddin, Petronas (ditengah) sebelum majlis berakhir.

9. Lagi tetamu menikmati hidangan sambil berbual.

10. Bukan sekadar makan, tetapi rancak berbual – inilah gelagat sebahagian tetamu yang hadir. Kesempatan digunakan untuk merapatkan tali silaturahim.

11. Datuk Zakaria Abdul Wahab, Timbalan Ketua Pengarang Bernama (berdiri kanan) bergambar kenangan dengan tetamu dari DRB Hicom Berhad.

12. Chamil bergambar kenangan dengan pegawai-pegawai Sunway Berhad.

13.  Puan Nuzatul Shima (MPI) melayan tetamu yang duduk semeja dengannya.

14. Chamil (tiga kiri) berbual dengan Izad Haji Raya dari Sime Darby Plantation (dua kanan berjaket) dan “anak-anak buah” beliau.

15. Chamil (dua kiri) bersama Panel Hakim HKM 2013 yang turut hadir pada majlis apresiasi MPI iaitu Profesor Madya Dr. Mohd Yahya Mohd Ariffin, Timbalan Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  (kiri); Profesor Madya Dr. Baharuddin Abdul Aziz, Pengarah TV Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM, kanan), Haji Hamzah Sidek, mantan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan (dua kanan). Turut kelihatan ialah Encik Mohd Suhaimy Kamaruddin (Petronas, tiga kiri) dan Noor Aina Ashraf (Petronas, tiga kanan).