MPI setuju anjurkan Malam Wartawan sempena HAWANA

KENYATAAN MEDIA MPI

Malaysian Press Institute (MPI) bersetuju untuk menganjurkan Malam Wartawan Malaysia pada setiap 29 Mei mulai tahun depan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan diraikan pada tarikh tersebut setiap tahun.

Perkara ini diputuskan oleh Lembaga Pemegang Amanah MPI pada Mesyuarat Agung Tahunan 2017 pada 24 April lalu.

Pengerusi MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya memberitahu persetujuan itu dicapai sebulat suara dalam upaya untuk memeriahkan HAWANA yang buat julung kalinya diraikan pada 11 April lalu.

Pada HAWANA pertama itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyatakan persetujuan kerajaan untuk mengisytiharkan bahawa mulai 2019, hari wartawan itu akan dirayakan setiap tahun pada 29 Mei, mengambil sempena tarikh terbitnya akhbar Utusan Melayu pada tarikh yang sama pada tahun 1939.

Chamil memberitahu, “sekiranya diminta oleh penganjur HAWANA, MPI tiada halangan untuk menganjurkan Malam Wartawan Malaysia pada sebelah malam pada hari tersebut sebagai salah satu pengisian HAWANA 2019 dan seterusnya.”

Menurut beliau, dengan adanya tarikh tetap setiap tahun, penganjuran Malam Wartawan Malaysia yang bertujuan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia akan menjadi lebih lancar dan bermakna lagi, terutamanya dengan kehadiran Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Malam Wartawan Malaysia mula diadakan setiap tahun mulai 1981 dengan menampilkan Perdana Menteri atau timbalannya sebagai tetamu kehormat untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang HKM.

Bagi 2018, malam tersebut akan diadakan di Hotel Shangri-la pada 13 Julai depan. 800 orang tetamu dijangka menghadiri malam tersebut.

Jika Malam Wartawan Malaysia dianjurkan menerusi kutipan syarikat-syarikat korporat, agensi-agensi kerajaan melalui pembelian meja dan sumbangan, Hadiah Kewartawanan Malaysia pula ditaja sepenuhnya oleh syarikat minyak negara, PETRONAS.

PETRONAS mula menaja HKM pada 1994 dan syarikat itu baharu saja memperbaharui kontrak tajaan bernilai RM300,000 setahun untuk tempoh tiga tahun bagi HKM 2017, HKM 2018 dan HKM 2019.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan 2017 itu, MPI juga bersedia menawarkan khidmatnya untuk menganjurkan HAWANA setiap tahun sekiranya pihak industri berita dan kewartawanan menyediakan peruntukan secukupnya bagi menjayakan program tersebut.

Bagi HAWANA 2018, bertindak sebagai sekretariat penganjur ialah agensi berita nasional BERNAMA.

Bagi tujuan penganjuran, MPI dimaklumkan pihak Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah menyalurkan sebanyak RM1 juta kepada BERNAMA. Tetapi mulai 2019, program itu akan dibiayai oleh industri kewartawanan itu sendiri secara kolektif.

“Sekiranya peruntukan yang sama diberi kepada MPI oleh kerajaan bagi tujuan penganjuran HAWANA, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan,” ujar Chamil.

Pada mesyuarat tahunan itu, MPI juga membuat keputusan untuk membantu Kementerian Dalam Negeri untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam rangka Press Freedom Index yang dikeluarkan setiap tahun oleh pertubuhan bernama Reporters Without Borders yang beribu pejabat di Paris itu.

Chamil memberitahu perwakilan MPI akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri untuk memaklumkan secara rasmi akan kesediaan MPI itu selepas Pilihan Raya Umum 14 selesai.

Menurut Chamil, mesyuarat tahunan MPI juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan dua ahli lembaga pemegang amanahnya untuk tempoh satu tahun lagi.

Mereka ialah Datuk Ibrahim Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia dan Datuk Yong Soo Heong, mantan pengurus besar BERNAMA.

Datuk Dr. Chamil (tengah) mempengerusikan mesyuarat agong Lembaga Pemegang Amanah yang berlangsung di unit latihan MPI di Radius Business Park, Cyberjaya.