MPI release
MPI dan SMMTC, UUM buka peluang wartawan ikuti program sarjana kewartawanan multimedia

MPI dan SMMTC, UUM buka peluang wartawan ikuti program sarjana kewartawanan multimedia


Malaysian Press Institute (MPI) akan bekerjasama dengan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi atau School of Technology and Communication (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk memperkenalkan program Sarjana Kewartawanan Multimedianya dalam kalangan wartawan dan pengamal komunikasi korporat serta perhubungan awam badan-badan korporat di negara ini.


Program tersebut yang diperkenalkan di kampus UUM Kuala Lumpur merupakan usaha terbaharu SMMTC untuk memberi kesempatan kepada pengamal media mendalami bidang kewartawanan multimedia untuk pelbagai platform media pada era konvergens dan digital sekarang.
Para wartawan yang mempunyai ijazah pertama dalam pelbagai bidang layak untuk mengikuti program tersebut.


Apa yang lebih menarik ialah MPI dan SMMTC bersedia membantu kalangan yang berminat untuk mengikuti ijazah sarjana itu mendapatkan biasiswa khas yang ditawarkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik kepada golongan wartawan yang ingin melanjutkan pelajaran.


Tawaran itu dinyatakan oleh beliau dalam ucapan pada Malam Wartawan Malaysia anjuran MPI pada April 2019 lalu.


Bagi menjayakan kerjasama tersebut secara formal, MPI dan SMMTC bersetuju untuk menandatangani memorandum perjanjian (MoA) atau memorandum persefahaman (MoU) dalam masa terdekat ini.


Persetujuan berbuat demikian dicapai pada pertemuan antara MPI dan rombongan SMMTC yang mengadakan lawatan ke MPI di Cyberjaya pada 30 Ogos 2019 lalu.


Rombongan SMMTC dalam kunjungan itu diketuai oleh Dekannya, Profesor Madya Dr. Mohd Sobhi Ishak manakala MPI pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chamil Wariya. Turut serta mewakili MPI ialah Pengurus Besar, Puan Norlida Jamain dan Puan Norhafiza Kamaludin.
Sekiranya kerjasama tersebut menjadi kenyataan, maka ini adalah kali kedua MPI bekerjasama dengan SMMTC untuk menawarkan program pada peringkat ijazah sarjana. 


Dalam kerjasama pertama yang dijalin antara 2012 hingga 2016 itu, program yang ditawarkan adalah Sarjana Sains Komunikasi Pengurusan, juga diadakan di UUM Kuala Lumpur.


Seramai 30 orang wartawan, karyawan bidang seni dan pengamal komunikasi korporat telah menggenggam ijazah sarjana masing-masing menerusi program tersebut. Ada antara mereka yang kemudiannya melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah doktor falsafah selepas itu.


Pada pertemuan di Cyberjaya pada 30 Ogos lalu itu, Chamil juga meminta SMMTC menimbang untuk memperkenalkan program Diploma Eksekutif dalam bidang kewartawanan/komunikasi untuk membolehkan para wartawan berpengalaman, tetapi tidak mempunyai ijazah pertama untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat diploma itu.


“SMMTC bersedia untuk menimbang permohonan itu sekiranya MPI menulis surat rasmi bagi tujuan tersebut,” kata Dr. Sobhi.

1. Chamil (dua kanan) menunjukkan catatan kerjasama MPI-SMMTC, UUM pada 2012-2016 yang dimuatkan dalam bukan Kisah MPI terbitan MPI kepada Profesor Madya Dr. Mohd Sobhi Ishak (kiri) dalam kunjungan beliau ke MPI pada 30 Ogos 2019.
2. Rombongan SMMTC dan pegawai kanan MPI bergambar kenangan selepas mesyuarat selesai.
3. Dr. Sobhi (kiri) menyampaikan cenderhati kepada Chamil (kanan) sebagai penghargaan kepada MPI menerima kunjungan rombongan SMMTC ke premis MPI di Cyberjaya, di mana ia beroperasi mulai 2 April 2018.
4. Chamil (kanan) menyampaikan buku-buku kewartawnan terbitan MPI kepada Dr. Sobhi sebagai tanda persahabatan MPI kepada SMMTC. Tiga buku yang dihadiahkan ialah: Kisah MPI, Krisis dan Strategi Cabaran Media dan Kewartawanan Era Digital dan Terbilang Portret Tokoh Wartawan Negara.