MPI tawar khidmat kepada SSM

23 Februari – Malaysian Press Institute (MPI) menerima kunjungan hormat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di premisnya yang terletak di Jalan Bukit Ledang petang semalam.

Rombongan SSM yang diketuai oleh Encik Mohamad Shahren Mohamad Yusri, Pengarah Bahagian Strategi  dan Komunikasi Korporat hadir bersama Puan Nurulhuda Abd Aziz, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat; Cik Maisarah Mohamad, Eksekutif Perhubungan Media dan Tanggungjawab Korporat; dan Encik Yuvarajoo A/L Sahadevan, Pembantu Tadbir.

Kehadiran mereka disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya dan Pengurus Kanan MPI, Puan Norlida Jamain.

Pertemuan selama satu jam itu membincangkan hasrat SSM yang disampaikan oleh Encik Shahren untuk bekerjasama dengan MPI bagi menganjurkan Anugerah Media SSM yang bermatlamat untuk memberikan penghargaan terus kepada pengamal media tempatan, selain menjenamakan produk SSM dan mengukuhkan lagi hubungan baik dengan pengamal media tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya menyambut baik hasrat SSM dengan berkata “Kami di MPI amat mengalu-alukan apa jua bentuk penghargaan atau program kerjasama yang di akhirnya memberikan pulangan kepada pengamal media di Malaysia dan industri kewartawanan. Saya juga berterima kasih kepada pihak SSM yang senantiasa menyokong pelbagai program kewartawanan anjuran MPI.”

MPI turut menyerahkan kertas cadangan yang telah disediakan pada mesyuarat tersebut.

Menurut Shahren “Kami bersetuju dengan kertas cadangan yang dikemukakan ini tetapi beberapa pindaan melibatkan skop dan kategori yang bakal dipertandingkan akan dibuat mengikut kesesuaian. Jika boleh, biarlah Anugerah Media SSM ini mempunyai kelainan dengan anugerah-anugerah media yang lain. Kami juga berharap agar penganjuran anugerah ini memberi impak positif kepada imej SSM khususnya.”

Tambah Shahren “Anugerah ini akan diadakan pada tahun ini dan dijangka berlangsung selepas Hari Raya Aidilfiti”.

Norlida menjelaskan bahawa kertas cadangan yang diberikan ini tidaklah terperinci kerana ianya hanya akan dimuktamadkan setelah pihak SSM bersetuju untuk melantik MPI sebagai Sekretariat Penghakiman Anugerah Media SSM 2018.

Jelas Norlida, “pihak kami akan mengemukakan semula kertas cadangan yang lengkap untuk dinilai oleh pihak SSM dan kami memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga empat bulan bagi melengkapkan proses hebahan sehinggalah proses penilaian karya-karya kewartawanan yang diterima penyertaannya sebelum berlangsungnya majlis penyampaian anugerah.”

Untuk rekod MPI, Encik Shahren pernah memenangi Hadiah Kajai 2007 sewaktu bertugas dengan KOSMO!, manakala Puan Nurulhuda juga pernah memenangi pelbagai anugerah media anjuran MPI dan Kementerian sewaktu berkhidmat dengan TV3.

Rakaman gambar-gambar:

1. Perbincangan serius tetapi santai antara MPI dan SSM dalam membincangkan program Anugerah Media SSM 2018.

 

2. MPI – SSM bertukar cenderahati selepas perbincangan selesai. Datuk Dr. Chamil turut menghadiahkan buku terbaharu terbitan MPI berjudul Krisis dan Strategi: Cabaran Kewartawanan dan Media Era Digital kepada Encik Shahren.

 

3. Datuk Dr. Chamil (tengah) diapit oleh rombongan SSM. Dari kiri Encik Yuvarajoo; Encik Shahren; Puan Nurulhuda dan Cik Maisarah bergambar kenangan.