MPI terima kunjungan IPPTAR

Malaysian Press Institite (MPI) bersedia bekerjasama dengan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia menganjurkan kursus kewartawanan khususnya kewartawanan televisyen.

Kesediaannya ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya dalam taklimat kepada Pengarah IPPTAR, Puan Hajah Salmah Ibrahim Melina yang melawat MPI di Cyberjaya pada 7 Ogos 2018.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah dua orang pegawai kanan IPPTAR iaitu Puan Nor Hizan Mahtob, Ketua Kluster Industri Kreatif dan Encik Chua Hin Chiew, Ketua Kluster Komunikasi Strategik.

Dalam taklimat tersebut Chamil memberitahu pihak MPI bersedia merangka program kewartawanan yang ingin diperkenalkan selain memanfaatkan para pengarang kanan organisasi media yang menganggotai MPI sebagai tenaga pengajar.

Menurut MPI, sebagai sebuah pusat latihan kewartawanan yang sudah berusia lebih 50 tahun, MPI tidak keberatan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam melahirkan modal insan terlatih dalam bidang kewartawanan.

IPPTAR ditubuhkan pada 1971 untuk menawarkan pelbagai kursus berkaitan bidang penyiaran dan penerangan bagi kakitangan Jabatan Penyiaran. Skop latihan kemudian diperluaskan untuk meliputi penjawatan awam di jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

MPI pula ditubuhkan pada 1966 dengan nama asalnya South East Press Centre. Namanya ditukar kepada MPI pada 1974.

Dalam taklimat tersebut Chamil juga memberi penerangan terperinci mengenai fungsi dan peranan MPI yang selain bertindak sebagai penyedia latihan kewartawanan, juga terbabit dalam penganjuran hadiah kewartawanan dan penerbitan buku-buku kewartawanan.

 

Rakaman gambar-gambar:

1. Rombongan IPPTAR yang diketuai oleh Pengarahnya, Puan Hajah Salmah (kanan sekali), bersama Encik Chua dan Puan Nor Hizan hadir ke pejabat MPI.
2. Antara aksi yang dirakamkan oleh jurufoto MPI ketika Datuk Dr. Chamil menceritakan perjalanan dan aktiviti-aktiviti anjuran MPI menerusi buku Perjalanan Lima Dekad MPI.
3. MPI – IPPTAR bergambar kenangan sejurus tamat perbincangan. Pegawai IPPTAR diapit oleh pegawai MPI, dari kiri : Puan Norlida, Puan Norhafiza, Puan Nor Hizan, Encik Chua, Puan Hajah Salmah dan Datuk Dr. Chamil Wariya.