MPI terima kunjungan pensyarah City University

Cyberjaya 7 Ogos: Malaysian Press Institute (MPI) hari ini menerima kunjungan tiga orang pensyarah City University, Petaling Jaya bagi membincangkan untuk kedua-dua pihak mengadakan kolaborasi dalam bidang latihan dan penganjuran program berkaitan media dan kewartawanan.

Dalam perbincangan selama sejam itu, MPI diwakili oleh Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Chamil Wariya dan pengurus latihan, Puan Norhafiza Kamaluddin.

City University diwakili oleh Puan Syahida Idany, Ketua Jabatan Komunikasi dan Penulisan Media serta dua pensyarah iaitu Puteri Nuraqidah dan Afiq Aiman.

Dalam ucapan alu-aluan, Chamil mengalu-alukan kedatangan para pensyarah itu, sambil memberi penerangan ringkas mengenai kegiatan-kegiatan utama MPI dalam bidang latihan, penganjuran seminar dan forum media, pengurusan anugerah media dan penerbitan buku-buku berkaitan kewartawanan.

Beliau juga menyatakan minat untuk mengadakan kolaborasi dalam bidang latihan dengan City University yang berusia 35 tahun itu.

Puan Idany pula menawarkan MPI menggunakan kemudahan-kemudahan dewan kuliah City University dalam penganjuran program-program MPI tanpa dikenakan bayaran sebagai usaha mendekatkan pihak industri media dengan para pelajar media dan kewartawanan di universiti berkenaan.

Bagi tujuan tersebut, kedua-dua pihak akan memperincikan program-program yang boleh dikenal pasti untuk tujuan kolaborasi.

Satu Memorandum Persefahaman  (MoU) dijangka akan ditandatangani pada waktu yang terdekat untuk merealisasikan kolaborasi yang dicadangkan.