MPI terima pelan antirasuah nasional bagi pihak media

Malaysian Press Institute (MPI) diberi penghormatan untuk menerima senaskah Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi pihak media Malaysia pada majlis pelancaran pelan tersebut yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada pagi 29 Januari 2019 di Putrajaya.

 

Pada majlis penyerahan NACP itu, MPI diwakili oleh Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr. Chamil Wariya.

 

Dalam surat jemputan kepada Chamil memohon beliau menghadiri pelancaran NACP itu, Ketua Pengarah, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed  memaklumkan bahawa “Datuk, telah dipilih dan dipersetujui oleh YAB Perdana Menteri sebagai wakil media yang akan naik ke pentas untuk menerima Buku Pelan Antirasuah Nasional (NACP) daripada YAB Perdana Menteri pada majlis tersebut.

 

Selain Chamil turut hadir sebagai penerima adalah para peneraju parti-parti politik dalam Pakatan Harapan, Barisan Nasional, PAS dan sebilangan pemimpin NGO yang mewakili masyarakat madani.

 

Mereka termasuklah Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng; Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Shafie Afdal; Pemangku Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkifle Wan Ariffin, Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

 

Dalam ucapan pelancaran, Tun Dr. Mahathir berkata Pelan Antirasuah Nasional dibangunkan untuk mencapai aspirasi supaya Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah”.

 

Perdana Menteri mengakui bahawa media, sesuai dengan statusnya sebagai jagawan keempat, adalah satu entiti yang penting dalam usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih rasuah.

 

Chamil yang menghargai penghormatan yang diberikan kepada MPI itu memberitahu pihak MPI bercadang untuk menjadikan Pelan Antirasuah Nasional sebagai salah topik bagi program latihan yang diadakan dari masa ke masa akan datang.

 

“MPI juga bercadang untuk mengundang Tan Sri Abu Kassim memberi ceramah pada Bicara Makan Tengah Hari MPI khusus untuk komuniti pengamal media mengenai pelan tersebut,” katanya.

 

 

Keterangan foto:

Chamil menerima pelan NACP daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di PICC pada 29 Januari 2019. Turut berada dipentas utama menyaksikan penyerahan dokumen tersebut ialah Tan Sri Abu Kassim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Datuk Seri Shukri Abdull.