MPI terima sumbangan RM 657,500 jayakan Malam Wartawan Malaysia 2016

MPI terima sumbangan RM 657, 500 jayakan Malam Wartawan Malaysia 2016

Ucapan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya pada majlis penyerahan sumbangan Malam Wartawan Malaysia 2016 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 21 April 2016, jam 10.30 pagi

 

Bagi pihak rakan-rakan dalam Majlis Pentadbir Malaysian Press Institute (MPI) saya ingin mengambil kesempatan awal ini untuk mengucapkan selamat datang kepada semua penyumbang yang hadir pada majlis ini untuk menyampaikan sumbangan masing-masing bagi sama-sama menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2016. Malam Wartawan Malaysia, yang merupakan acara tahunan anjuran MPI sejak 1980 insya-Allah akan diadakan pada 20 Mei 2016 ini iaitu kira-kira sebulan dari sekarang di The Majestic Hotel Kuala Lumpur.

Majlis itu bukanlah sebarang majlis, tetapi diadakan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS, sambil disaksikan oleh kita semua, Insya-Allah. Untuk makluman, PETRONAS adalah penaja HKM sejak 1994. Bagi HKM MPI PETRONAS 2015, hadiah wang tunai yang ditawarkan secara keseluruhannya kekal bernilai RM300,000, sama seperti enam tahun lalu.

Selain wang tunai, para pemenang utama HKM MPI PETRONAS kali ini akan membawa pulang hadiah iringan trofi eksklusif dan sijil. Hadiah tambahan baharu ini diperkenalkan kerana kita tahu wang boleh dibelanjakan dalam sekelip mata, tetapi trofi kekal tersimpan selagi hayat dikandung badan sebagai catatan bersejarah mengingatkan kemenangan individu berkenaan. Tambahan pula trofi itu ketinggian 10 inci itu diperbuat daripada logam yang tapaknya disalut emas manakala badannya disalut perak. Bagi para pemenang HKM yang lalu, sekiranya mereka ingin mendapatkan trofi ini, mereka juga boleh membuat tempahan pada harga yang ditentukan kemudian.

HKM MPI PETRONAS bukan sahaja anugerah kewartawanan tertua di negara ini, tetapi turut menawarkan ganjaran wang tunai paling lumayan. Selain dua anugerah utama iaitu Tokoh Wartawan Negara dan Hadiah Kajai, 18 kategori diperkenalkan bagi HKM 2016. Ini termasuklah lima kategori baharu yang bertujuan untuk mengiktiraf elemen-elemen kewartawanan yang tidak ada dalam HKM sebelum ini. Bagi HKM 2015, pihak MPI menerima 438 penyertaan.

Saya difahamkan pada pagi ini, 56 orang mewakili 26 pelbagai entiti korporat hadir untuk menyerahkan sumbangan masing-masing. Kepada mereka saya ingin merakamkan penghargaan yang tulus ikhlas MPI kerana terus menyokong usaha kami untuk mengiktiraf karya-karya cemerlang yang dihasilkan oleh para wartawan di negara ini. Sehingga pertengahan April 2016, 43 entiti, yang terdiri daripada badan-badan korporat, agensi-agensi kerajaan – negeri dan Persekutuan, serta organisasi berita itu sendiri, tampil untuk mengikrarkan sumbangan. Secara kolektif, sumbangan sebanyak RM357,500 berjaya dikumpul melalui penajaan meja Malam Wartawan Malaysia 2016.

Ini bermakna sekiranya penajaan PETRONAS bernilai RM300,000 sebagai hadiah kepada para pemenang HKM MPI PETRONAS 2015 dicampur sama, maka jumlah yang kami terima untuk menjayakan majlis kali ke 36 berjumlah RM657,500. Percayalah RM yang kami terima, kami kembalikan kepada komuniti kewartawanan Malaysia menerusi penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2016 dan HKM MPI PETRONAS 2015.

Akhirnya saya sekali lagi ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua organisasi yang telah bermurah hati untuk menghulurkan sumbangan masing-masing. Tanpa sokongan dan dokongan anda, program untuk memberi pengiktirafan kepada golongan wartawan yang menghasilkan karya bermutu tinggi ini tidak akan bertahan selama 36 tahun. Hanya Allah SWT yang dapat membalas  budi baik tuan-tuan dan puan-puan. Amin ya rabbal alamin. Terima kasih.

Tags :