MPI Sumbang Buku Jayakan Projek Wakaf Buku UPSI  

Berita: Kesan banjir teruk yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur tahun lalu, telah membuka mata sekumpulan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk membantu golongan yang terkesan khususnya para pelajar dengan mengilhamkan Projek Wakaf Buku. 

Buku-buku yang disumbangkan oleh pelbagai pihak itu kemudian akan disalurkan kepada perpustakaan-perpustakaan sekolah-sekolah yang simpanan buku-buku untuk rujukan dan bacaan para pelajar musnah dalam banjir itu.

Menghargai usaha golongan mahasiswa itu, YBhg Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI turun padang untuk menyerahkan sumbangan buku-buku terbitan MPI.

Sumbangan itu telah disampaikan kepada penyelaras projek Wakaf Buku UPSI, Saudara Nik  Asmawi Nik Hassan di UPSI pada 1 November 2015.

Antara buku-buku yang disumbangkan termasuklah terbitan terbaharu MPI iaitu Strategi Pemujukan Najib Razak Dalam Komunikasi Politik.

Buku-buku lain ialah: Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran; Potret Peribadi Abdullah Ahmad Badawi; In His Own Right: Najib Razak and Malaysian Politics; Asas Pembinaan Negara Bangsa; Perjuangan Membela Melayu dan Kewartawanan dan Media Era Digital: Isu-isu Semasa.

YBhg Datuk Dr. Chamil juga meminta Saudara Nik Asmawi untuk mengagihkan buku-buku tersebut kepada sekolah-sekolah yang berdekatan dengan UPSI.

 upsi 1

YBhg Datuk Dr. Chamil Wariya bergambar kenangan dengan Saudara Nik Asmawi Nik Hassan, pencetus Projek Wakaf Buku di Kampus Sultan Abdul Jalil UPSI pada 1 November 2015.

upsi 2

Saudara Mohammad Nizam bin Shawal (kanan), Sukarelawan Projek Wakaf Buku bergambar kenangan bersama YBhg Datuk Dr. Chamil Wariya selepas penyerahan sumbangan buku-buku MPI.