Mufti Wilayah Persekutuan lawat MPI

Malaysian Press Institute (MPI) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bersetuju untuk mengadakan bengkel tahunan bagi menjelaskan isu-isu semasa Islam kepada pengamal media di negara ini.

Persetujuan ini dicapai sewaktu rombongan jabatan itu, yang diketuai sendiri oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mengadakan lawatan ke MPI di Jalan Bukit Ledang, Kuala Lumpur pada 19 Mac 2013. Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Haji Mamat bin Said, Ketua Penolong Mufti, Ustaz Omar bin Mehat dan enam pegawai lain.

Pada lawatan itu Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya telah menyampaikan taklimat mengenai program-program latihan institut. Salah satu program itu ialah kursus dan bengkel yang bertujuan untuk melestarikan ilmu dan pengetahuan mengenai bidang-bidang tertentu dan khusus kepada golongan wartawan yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak dan institusi.

Antaranya ialah bengkel tahunan mengenai penyeludupan orang yang dianjurkan dengan kerjasama Kedutaan Besar Amerika Syarikat dan Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO), sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Selain itu dengan kerjasama pada mulanya Bank Islam Malaysia Berhad dan sekarang Association of Islamic Banking Malaysia (AIBM), MPI mengadakan bengkel kewangan Islam. Dengan kerjasama syarikat minyak seperti PETRONAS, bengkel tentang industri minyak dan gas telah diadakan.

Dalam taklimat yang diberikan, Chamil juga mencadangkan kepada Datuk Wan Zahidi supaya MPI dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mengadakan bengkel khusus untuk menerangkan isu-isu semasa mengenai Islam kepada golongan wartawan memandangkan Islam adalah agama Persekutuan.
Datuk Wan Zahidi bersetuju dan menamakan Ustazah Faizah binti Fadzil sebagai penyelaras bagi pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan manakala Maimunah Rashid, Konsultan Latihan MPI akan bertindak sebagai penyelaras di pihak MPI.

Selain itu, MPI dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan akan bekerjasama untuk menganjurkan satu kongres media dan kewartawanan Islam yang diharapkan berupaya menggubal satu kod etika kewartawanan Islam yang boleh diguna pakai oleh wartawan-wartawan Muslim di negara ini.
Ketua Panel Pemikir jabatan itu, Ustaz Muhammad Ariffin bin Ismail bersetuju untuk menjadi panel dalam program yang diuruskan oleh Puan Nuzatul Shima Sulaiman, pengurus pembangunan perniagaan MPI. Selain Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, MPI juga akan membabitkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia dalam merancang kongres itu.

mufti 1 (1400x679)

1. Chamil (duduk, tiga kanan), Wan Zahidi (sebelah Chamil) dan Syed Agil Syed Jaafar (dua kiri) bergambar kenangan di MPI.

mufti 2 (1400x1148)

2. Mafis Mohd Samuri, salah seorang anggota rombongan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, mengajukan pertanyaan kepada Chamil.

mufti 3 (1400x1113)

3. Chamil dan Wan Zahidi bertukar-tukar cenderahati.

mufti 4 (1400x1063)

 4. Chamil dan Wan Zahidi bertukar-tukar cenderahati.

mufti 5 (1400x558)

5. Rombongan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sedang mendengar taklimat yang disampaikan oleh Chamil.

6. Ustaz Muhammad Ariffin Ismail, ketua panel pemikir Isu-isu Islam semasa, antara rombongan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

mufti 7

 7: Rombongan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sedang mendengar taklimat yang disampaikan oleh Chamil.