MWM 2020: Menteri Kanan Pendidikan wakili PM

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr. Mohd Radzi Md. Jidin akan mewakili Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2020 (MWM 2020), anjuran Malaysian Press Institute (MPI) pada 11 September depan.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia, Datuk Dr. Marzuki Mohamad dalam sepucuk surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya bertarikh 25 Ogos 2020 yang diterima MPI pagi semalam.

Dalam surat tersebut Dr. Marzuki menyatakan: “Untuk makluman YAB Perdana Menteri tidak dapat menghadiri Majlis Malam Wartawan Malaysia 2020. Sehubungan itu, YB Menteri Kanan Pendidikan akan mewakili YAB Perdana Menteri sebagai tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2020.”

Pejabat Menteri Kanan Pendidikan pula mengesahkan yang Senator Dr. Mohd Radzi akan hadir pada malam tersebut.

Dalam kenyataan penghargaan, Dr. Chamil berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mewakilkan Menteri Kanan Pendidikan sebagai tetamu kehormat.

“Terima kasih Tan Sri Muhyiddin dan saya juga mengalu-alukan kehadiran Menteri Kanan Pendidikan sebagai wakil beliau ke majlis tahunan anjuran MPI nanti,” kata beliau.

Dr. Chamil juga merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan yang diberikan kepada MPI selama ini, terutamanya sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin telah menghadiri majlis anjuran MPI itu sebanyak tiga kali. Kali pertama pada 2010, 2011 dan kali terakhir adalah pada 2014.

MWM 2020 merupakan majlis  tahunan anjuran MPI untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI PETRONAS.

Ia pertama kali diadakan pada September 1981 bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang HKM 1980. Sejak itu, majlis tersebut diadakan setiap tahun secara berterusan.

Syarikat minyak negara, PETRONAS adalah penaja HKM sejak 1994. Nilai tajaan hadiah bermula sebanyak RM70,000.00 kemudian ditambah menjadi RM150,000 dan mulai 2005 kuantum tajaan ditingkatkan kepada sebanyak RM300,000.00.

Bagi menjayakan MWM 2020, 33 entiti korporat, kementerian-kementerian Persekutuan, kerajaan negeri telah menghulurkan sumbangan masing-masing bernilai sebanyak RM335,000.00 setakat ini.

MWM yang bakal berlangsung di Hotel Majestic Kuala Lumpur dijangka akan dihadiri seramai 320 orang tetamu iaitu jumlah paling kecil sejak ia dianjurkan sebagai memenuhi norma baharu era Covid-19.

Sebelum pandemic Novel Coronavirus melanda negara dan dunia, MWM  menghimpunkan antara 700 hingga 800 orang tetamu yang sebahagian besarnya terdiri daripada para wartawan, pengamal komunikasi korporat dan perhubungan awam.

Pada asalnya MWM 2020 dijadualkan berlangsung pada April 2020, tetapi ditangguhkan penganjurannya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

Apabila kerajaan melaksanakan PKP Pemulihan pada 10 Jun 2020 dan membenarkan penganjuran majlis-majlis sosial yang perlu mematuhi SOP PKPP dari segi penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan imbasan suhu badan, MPI memutuskan untuk mengadakan MWM pada 11 September 2020.

Justeru majlis itu diputusakan diadakan di Hotel Majestic kerana tempat asal di mana ia sepatutnya diadakan iaitu Hotel Istana dijadikan stesen kurantin untuk warga Malaysia yang pulang dari luar negara.

Dalam keadaan biasa, dewan jamuan Hotel Majestic itu boleh menempatkan 100 meja dengan 1,000 tetamu.

Bagaimanapun sebagai mematuhi SOP Covid-19, hanya 64 meja akan ditempatkan dalam dewan tersebut. Setiap meja hanya menempatkan hanya lima orang tetamu dan meja di susun pada jarak satu meter antara satu meja dengan meja yang lain.

HKM 2019 pula mempertandingkan penyertaan bagi 20 kategori.