Pameran 50 tahun MPI di JCorner USIM

Dokumen dan gambar-gambar berkaitan perjalanan 50 tahun MPI sebagai institusi latihan kewartawanan di negara ini adalah antara bahan yang dipamerkan di Journalism Corner, (JCorner) program kewartawanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan selama dua tahun mulai 14 Disember 2016.

Perasmian JCorner, cetusan idea pensyarah kanan kewartawanan USIM, Dr. Siti Suriani Othman, dirasmikan secara bersama oleh Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, Profesor Madya Dr. Mohamad Yahaya Mohd Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr. Chamil Wariya di dataran fakulti tersebut pada pagi 14 Disember itu.

Tapak kekal pameran JCorner selama dua tahun ini adalah di Perpustakaan USIM.

Selain bahan-bahan MPI, turut dipamerkan ialah kerja-kerja penyelidikan mengenai pelbagai produk media dan organisasi berita di negara ini yang dilakukan oleh 44 orang wartawan tahun akhir pelajar kewartawanan USIM.

Ini termasuklah kajian yang telah menemuramah para editor kanan akhbar Kosmo!, BH, Harakah serta majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbitan Islam, Telaga Biru.

Selepas majlis perasmian, Chamil telah mengadakan sesi berkongsi pengalaman  dengan para pelajar tahun empat dan tiga program komunikasi USIM. Dalam ceramah tersebut, Chamil telah memberi tip kepada yang ingin menceburi bidang kewartawanan bagaimana untuk menjadi seorang wartawan yang berjaya dalam era digital sekarang.

Beliau memberitahu menjadi wartawan pada masa ini memerlukan mereka menjadi yang berpengetahuan luas dalam hal ehwal nasional dan antarabangsa, selain celik teknologi semasa yang digunakan sebagai platform untuk menyalurkan pelbagai produk kewartawanan.

Menurut Chamil, semasa beliau memulakan kerjaya kewartawanan, beliau tidak memerlukan kemahiran yang pelbagai dan bersifat multimedia kerana pada waktu itu, jika seorang wartawan bekerja untuk akhbar, kemahiran yang diperlukan hanyalah menghasilkan teks berita atau rencana; jika dia bekerja dengan radio, ia hanya menghasilkan laporan untuk radio. Begitu juga dengan televisyen.

“Tetapi pada era digital, seorang wartawan selain menulis teks, mesti ada kemahiran merakam video atau mengambil gambar dan menyunting teks dan visual,” kata Chamil.

Selepas sesi ceramah, Chamil bergambar kenangan dengan para pelajar kewartawanan tahun akhir USIM yang bertindak sebagai ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab menjayakan JCorner.

jcorner-usim-01

  1. Datuk Chamil menerima cenderahati daripada Dr. Mohamad Yahaya selepas merasmikan Journalism Corner atau JCorner 

    jcorner-usim-07

  2. Antara dokumen dan gambar-gambar berkaitan perjalanan 50 tahun MPI (kanan) turut dipamerkan di Perpustakaan USIM, tapak pameran kekal JCorner. 

    jcorner-usim-02

  3. Datuk Dr. Chamil mendengar taklimat yang disampaikan oleh wakil kumpulan tentang kajian yang telah dihasilkan.
     

    jcorner-usim-03

  4. Wakil kumpulan menerangkan sesuatu kepada Datuk Dr. Chamil sambil diiringi oleh Ketua Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, Prof. Madya Dr. Mohamad Yahaya (tengah berjaket hitam) dan Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Dr. Siti Suriani Othman (bertudung hitam).

    jcorner-usim-04

  5. Datuk Dr. Chamil pada sesi perkongsian pengalaman bersama para pelajar tahun akhir program komunikasi USIM

    jcorner-usim-05

  6. Antara pelajar yang melontarkan pertanyaan kepada Datuk Dr. Chamil tentang cabaran bidang kewartawanan masa kini

    jcorner-usim-06

  7. Para pelajar merakamkan gambar kenangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil selepas tamat sesi ceramah