Pelajar UUM-MPI terima ijazah sarjana: rakaman gambar-gambar

Kumpulan kedua seramai 15 pelajar sarjana Universiti Utara Malaysia (UUM) – Malaysian Press Institute (MPI) menamatkan pengajian masing-masing pada pertengahan 2015 setelah bertungkus lumus di bilik kuliah selama lima semester dan menghabiskan satu semestar menyiapkan kertas projek masing-masing.

Penat lelah mereka mengikuti pengajian berbaloi apabila masing-masing menggenggam ijazah Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan (MSc Managerial Communication) yang diterima daripada Pro Canselor UUM, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada sesi 2 konvokesyen pada pagi 25 Oktober itu.

Masing-masing tersenyum puas, menggenggam erat skrol masing-masing.

Apa yang lebih istimewa, 15 orang siswazah itu kemudian mengadakan persidangan media bersama dengan Naib Canselor UUM, Datuk Seri Dr. Mustapa Ishak. Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Dr. Rosli Mohammed untuk menerangkan pengalaman pahit dan manis yang telah dilalui sepanjang tempoh dua tahun itu.

Masing-masing mengakui bahawa mereka telah melalui perjalanan akademik yang menyeronokkan atas kesedaran bahawa sebagai pengamal media mereka adalah pekerja ilmu yang harus senantiasa terbuka kepada perkembangan semasa dunia ilmu.

Sebilangan mereka menyatakan keazaman untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat  PhD, sama ada di UUM atau universiti awam lain di Lembah Kelang.

Para siswazah itu merakam penghargaan kepada Naib Canselor UUM dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya kerana telah berkolaberasi untuk mengadakan program khas pada peringkat sarjana  untuk pengamal media.

Kumpulan pertama 10 orang pelajar yang mengikuti program sarjana UUM-MPI menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen yang diadakan pada November 2014.

Kumpulan ketiga pula dijangka menamatkan pengajian masing-masing pada pertengahan 2016.

Berikut disiarkan rakaman gambar-gambar yang membayangkan kegembiraan sebahagian daripada 15 orang siswazah pada majlis konvoksyen pada 25 Oktober 2015 itu.

Picture1

1. Sebahagian 15 orang pelajar program Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan UUM- MPI di Dewan Muadzman Shah, menunggu giliran untuk menerima ijazah masing-masing pada Sesi 2 majlis konvokesyen pada 25 Oktober 2015.

Picture2

2. Yusanani Yushak, (kiri) mantan peneraju berita Buletin Utama TV3 adalah salah seorang pelajar yang menerima ijazah sarjana sains daripada Pro Canselor Universiti Utara Malaysia ((UUM), Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim.

Picture3

3. Bersama Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Seri Dr. Mustapa Ishak (di tengah), mengadakan persidangan media untuk menerangkan kebaikan program UUM-MPI itu yang membolehkan pengamal media melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana.

Picture4

4. Bangga: para pelajar sarjana UUM-MPI meraikan kegembiraan menamatkan pengajian bersama dengan tenaga akademik UUM.