Pemenang Pertandingan Kewartawanan Pemudah 2014 terima hadiah

Hadiah kepada para pemenang Pertandingan Kewartawanan Pemudah 2014 telah disampaikan oleh pengerusi Pasukan Petugas Khas Bagi Memudahkan Perniagaan (Pemudah), yang juga Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa di Bilik Taklimat Jabatan Perdana Menteri pada petang 19 Mac 2015.

Serentak dengan itu, Pertandingan Kewartawanan Media 2015 yang dianjurkan dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI)  dilancarkan pada majlis penyampaian hadiah itu. Penyertaan bagi pertandingan 2015 itu kini dibuka. Tarikh tutupnya ialah pada 31 Disember 2015.

Pada majlis pada 19 Mac itu, tiga pemenang bagi kategori bahasa Inggeris menerima hadiah masing-masing pada majlis itu.

Oliver Christopher Gomez dari akhbar dwibulanan  Malaysia SME mengungguli tempat pertama, membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000. Pemenang kedua Lim Wing Hooi mewakili akhbar The Star, menerima RM5,000 manakala Beh Kay Hieng dari Focus Malaysia yang berada di tempat ketiga membawa pulang RM3,000. Mereka adalah 13 orang wartawan media arus perdana yang menyertai Pertandingan Kewartawanan Pemudah 2014.

Malangnya, tidak ada pemenang bagi kategori  bahasa Melayu dan bahasa Cina. Panel hakim yang terdiri daripada pengamal media berpengalaman yang tidak terikat dengan mena-mana organisasi media menilai bahawa penyertaan bagi kategori dua bahasa itu tidak memenuhi piawai tinggi yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Mereka telah mengemukakan karya-karya yang dinilai tidak relevan dengan objektif yang telah dinyatakan.

Apa yang lebih mendukacita adalah tidak ada penyertaan bagi kategori berita televisyen, walaupun hebahan mengenai pertandingan itu telah dihantar kepada organisasi mereka.

Pada majlis itu, Tan Sri Dr. Ali berharap lebih ramai wartawan akan menghantar karya terbaik masing-masing bagi Pertandingan Kewartawanan Pemudah 2015.

1. Tan Sri Dr. Ali sedang menyampaikan ucapan.

2. Kalangan yang hadir untuk memeriahkan dua majlis penyampaian hadiah serentak – Pertandingan Hadiah Kewartawanan Pemudah 2014 dan Cabaran Pemudah: Kembali ke Sekolah.

3. Wakil pemenang ketiga, Beh Kay Hieng menerima hadiah daripada Tan Sri Dr. Ali.

4. Pemenang kedua, Lim Wing Hooi, tersenyum bangga menerima RM5,000.

5. Pemenang pertama Oliver Christopher Gomez, membawa pulang RM10,000. Beliau juga adalah pemenang 2013.

6. Tan Sri Dr. Ali (empat dari kanan) bergambar kenangan dengan para pemenang. Turut serta ialah Datuk Dr. Chamil (paling kiri).

7. Panel hakim bergambar kenangan selepas memilih para pemenang pada mesyuarat pada 12 Mac 2015 di Hotel Westin, Kuala Lumpur. Ketua panel, Datuk Dr. Chamil (dua kanan).