Pendedahan terhadap penulisan bisnes untuk wartawan Sarawak dan Sabah

Dalam upaya untuk mempertajamkan kemahiran para wartawan Sarawak dan Sabah menghasilkan pelaporan bisnes yang berkesan, satu bengkel khas penulisan bisnes untuk media telah diadakan di Kuching.

Program anjuran Malaysian Press Institute (MPI) itu telah diadakan di Hotel Grand Margherita, Kuching pada 29 September 2014.

Dua belas orang wartawan-wartawan media cetak dan media elektronik sekitar Kuching dan Kota Kinabalu mengikuti program sehari itu.

Mereka mewakili lapan organisasi berita dari kedua-dua negeri itu. Ia termasuklah Borneo Post, Utusan Sarawak, Utusan Borneo, New Sarawak Tribune, New Sabah Times, Daily Express, Bernama, RTM Sabah dan RTM Sarawak.

Pembimbing bengkel itu ialah B.K. Sidhu, pengarang kanan bisnes akhbar The Star.

Bengkel ini diadakan untuk memberi pendedahan dan kefahaman kepada peserta-peserta di Sarawak dan Sabah mengenai penulisan perniagaan agar dapat disampaikan dengan tepat dan mudah difahami kepada pembaca dan pendengar serta penggunaan tentang istilah-istilah ekonomi dan perniagaan yang betul dalam laporan-laporan yang dihasilkan.

Para peserta yang ditemui, selepas bengkel berakhir, mengakui bahawa bengkel itu telah membantu mereka untuk menghasilkan pelaporan berita dan penulis rencana bisnes yang lebih mantap selepas ini nanti, selain meningkatkan pemahaman mereka tentang selok-belok dunia perniagaan.

1. Kesemua 12 orang peserta bengkel tekun mendengar ceramah.

2. B.K. Sidhu, Senior Editor, Business, The Star yang bertindak sebagai tenaga pengajar, menerangkan ciri-ciri sebuah pelaporan bisnes yang baik dan berkesan.

3. Para peserta diingatkan oleh pengajar betapa perlunya memberikan gambaran yang sebenar supaya pembaca dapat merasai dan memahami apa yang dituliskan oleh wartawan.

4. Antara aktiviti dan latihan yang diberikan di dalam kelas, peserta diberi contoh artikel-artikel yang telah disiarkan di akhbar sebagai perbandingan.

5. Di akhir program, B.K. Sidhu turut menyampaikan sijil dan bergambar kenangan dengan peserta bengkel – dari kiri (depan) Yvonne Tuah Merawin (Borneo Post), Asila Amirah (Utusan Sarawak), Natasha Jee (New Sarawak Tribune).

Belakang dari kiri Araffie Igat (TV3), Osman Razali (Utusan Sarawak), Robert Kenneth anak Henry Ta-o (BERNAMA), Farah Lee Asman (RTM Sabah), Mohd. Izham bin Hashim (New Sabah Times), Christopher Lidon (New Sarawak Tribune), B.K. Sidhu (The Star), Jason Santos (Daily Express), Therenes Voo (New Sabah Times), dan duduk Eric Kristopher Edward (RTM Sarawak).