Permohonan Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan UUM MPI di buka

Kuala Lumpur: Malaysian Press Institute (MPI) mempelawa para wartawan dan  kalangan lain yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi kepengurusan atau managerial communication pada peringkat sarjana sains mengemukakan permohonan.

Kursus tersebut, yang pertama seumpamanya di negara ini, akan diadakan dengan kerjasama Unversiti Utara Malaysia (UUM) di  kampus UUM di Kuala Lumpur mulai September 2012 pada Sabtu dan Ahad.

Kursus itu dirancang khusus untuk golongan wartawan, tetapi mereka yang berkhidmat dalam bidang komunikasi korporat dan perhubungan awam juga dialu-alukan untuk memohon.

Memorandum Perjanjian (MoA) antara MPI dan UUM bagi menjayakan program itu telah ditandatangani pada 2 Julai di Sintok, Kedah.

Pada majlis itu, MPI diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chamil Wariya manakala UUM oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohamad Mustafa Ishak.

MPI berharap untuk mengumpul 20 orang wartawan sebagai pelajar kumpulan pertama bagi mengikuti program yang memakan masa satu tahun setengah atau tiga semester itu.

Setakat ini, 12 orang wartawan telah mengemukakan borang permohonan masing-masing. UUM juga telah menerima beberapa permohonan yang dihantar terus kepadanya.

Permohonan untuk mengikuti program Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan itu masih dibuka sehingga hujung Julai 2012.

Borang-borang permohonan yang sudah lengkap di isi boleh dihantar ke MPI atau terus ke Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kelayakan bagi mengikuti ijazah sarjana ini adalah ijazah sarjana muda dari mana-mana universiti tempatan atau luar negara yang diiktiraf. Bagaiamanpun para pemegang diploma yang mempunyai pengalaman kerja selama 10 tahun dalam bidang kewartawanan, komunikasi korporat dan perhubungan awam juga layak untuk memohon.

Yuran pengajian bagi menyiapkan kursus ini sekitar RM15,000.00.

Untuk keterangan lanjut hubungi Ketua Latihan MPI. Puan Maimunah Abdul Rashid pada nombor berikut:  603 – 2095 2013 / 2014.

1. Chamil (kanan) dan Mohamad Mustafa sedang menurunkan tandatangan tanda sepakat untuk mengadakan kerjasama bagi memulakan program Sarjana Sains Komunikasi Pengurusan mulai September 2012

 2. Chamil menyampaikan ucapan merakamkan penghargaan kepada pensyarah-pensyarah UUM yang terbabit dalam perbincangan yang bermula pada 25 Mei 2009

3. Mohamad Mustafa dalam ucapannya berharap kerjasama MPI UUM akan diperluaskan pada masa akan datang

4. T. Selvakumar, Ahli Majlis Pentadbir MPI menjadi saksi MoA yang merupakan satu lagi pancang tanda penting MPI dalam menyediakan latihan untuk wartawan

5. Chamil (kanan) dan Mohamad Mustafa bertukar perjanjian, disaksikan oleh T. Selvakumar (kanan sekali) dan Profesor Dr. Nur Shuhada (kiri), Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM