Pertandingan Kewartawanan Pemudah tawaran ganjaran RM60,000

Ganjaran wang tunai RM60,000 menunggu para wartawan yang menyertai Pertandingan Kewartawanan Pemudah 2013, anjuran Malaysia Productivity Corporation (MPC), sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa.

Tarikh tutup penyertaan yang berakhir pada 30 September 2013 telah dilanjutkan  pada 15 Disember 2013  untuk memberi peluang kepada lebih ramai wartawan menyertainya.

Pertandingan itu terbuka kepada wartawan media cetak dan online dan juga bidang penyiaran.

Dalam bidang media cetak dan online, penyertaan boleh dikemukakan dalam tiga bahasa – Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Pemenang pertama bagi setiap kategori bahasa itu akan menerima hadiah RM10,000, bagi tempat kedua RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000.

Hadiah yang sama ditawarkan bagi bidang penyiaran televisyen iaitu RM10,000 bagi tempat pertama, RM5,000 bagi tempat kedua dan RM3,000 bagi tempat ketiga.

Tulisan-tulisan yang dikemukakan untuk pertandingan ini hendaklah telah diterbitkan dalam media masing-masing. Bagi media cetak dan online, bahan tulisan hendaklah tidak melebihi 1,000 perkataan manakala item berita TV pula antara dua hingga tiga minit.

Penulisan hendaklah berbentuk faktual yang menceritakan pengalaman sebenar berkait perkhidmatan memudahkan melakukan perniagaan di Malaysia. Ini termasuklan penonjolan masalah-masalah yang dihadapi, jika ada, berkait 10 bidang yang menjadi tugas Pemudah.

Pemudah adalah sebuah badan petugas yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 2007 dengan matlamat utama mencari jalan bagi memudahkan sebarang urusan perniagaan oleh syarikat-syarikat tempatan  di negara ini  sewaktu berurusan dengan agensi dan jabatan-jabatan kerajaan yang relevan dengan bisnes yang diceburi. Ini termasuklah pihak kawal selia, penguat kuasa dan pengeluar lesen.

Di kalangan 185 buah negara yang dinilai oleh Bank Dunia sebagai negara yang mudah berurusan dalam dunia perniagaan, Malaysia menduduki tempat ke-12 bagi 2012. Tempat pertama diduduki oleh Singapura.

Butiran Pertandingan Kewartawanan Pemudah 2013 ini dinyatakan oleh Pengerusi Bersama Pemudah, Datuk Saw Choo Boon dalam satu majlis khas bersama media yang diadakan di Hotel Hilton, Petaling Jaya pada 22 Oktober 2013. Selain wakil-wakil media, turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Datuk Abdul Latif Abu Seman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya.

MPI telah dilantik oleh MPC untuk bertindak sebagai sekretariat penghakiman Pertandingan Kewartawanan Pemudah 2013.

1. Datuk Abdul Latif sedang menyampaikan ucapan alu-aluan.

2. Datuk Saw menerangkan butiran Pertandingan Kewartawanan Pemudah 2013.

3.Para wakil media dan pegawai kanan MPC bergambar kenangan selepas majlis penerangan mengenai Pertandingan Kewartawanan Pemudah 2013.