Johan Jaaffar: Wartawan-sasterawan istimewa – A. Kadir Jasin

PIDATO PENGISYTIHARAN TOKOH WARTAWAN NEGARA 2018, HADIAH KEWARTAWANAN MALAYSIA (HKM) MPI PETRONAS 2018, DISAMPAIKAN OLEH DATUK A. KADIR JASIN, TOKOH WARTAWAN NEGARA 2011 MERANGKAP PENASIHAT KHAS MEDIA DAN KOMUNIKASI PERDANA MENTERI MALAYSIA PADA MALAM WARTAWAN MALAYSIA 2019 DI HOTEL BERJAYA TIMES SQUARE, KUALA LUMPUR PADA 26 APRIL 2019 JAM 10 MALAM.

  

 

Tu bulan tu bintang

Atas pokok kayu ara

Izinkan saya mula bentang

Kisah Tokoh Wartawan Negara.

 

MENGENALI insan yang kita masyhurkan sebagai Tokoh Wartawan Negara ke-12 malam ini adalah mengenali seorang wartawan-sasterawan yang istimewa.

 

Beliau adalah dalam acuan penulis-penulis besar tanah air seperti A Samad Ismail, Ishak Haji Muhammad dan Abdul Rahim Kajai yang menggabungkan kewartawanan dan kesusasteraan dengan licin dan berseni.

 

Anak kelahiran  Kampung Sungai Balang Besar, Muar, Johor yang juga menampilkan cerita rakyat kontemporari seperti bakat terpendam Joko Kartolo – yang mendendangkan lagu “Have You Ever Seen The Rain – Credence Clearwater Revival” dalam loghat Jawa, wayang ketoprak dan Bangsawan Bintang Timur Opera, amat selesa berkarya dalam dua dunia dan dua bahasa.

 

Daripada kewartawanan forensik mengenai Natrah kepada pementasan Lantai T. Pinkie” karya A Samad Said dan menerajui pertubuhan media terbesar di negara kita, anak tukang gunting ini adalah seorang cendekiawan dan ilmuwan.

 

Tu bulan tu bintang, atas pokok kayu ara, tu dia sudah datang, orang korporat kampung kita. Dan sosok yang sedang saya perkatakan ini turut terlibat dalam dunia korporat.

 

Satu ketika saya menemuinya di tebing Sungai Muar menanam pisang untuk dijual ke Singapura dan dilabelkan sebagai “Product of Singapore” untuk eksport manakala di masa lain pula saya menemuinya di bilik lembaga.

 

Tetapi pertemuan saya dengannya yang paling mengesankan ialah apabila kami sama-sama membuat lawatan jemputan ke Taiwan pada awal kemunculannya di dunia kewartawanan.

 

Ketika itulah saya mengenalinya sebagai tukang cerita – the story teller – yang kaya khazanah katanya dan lembut-lucu bahasanya. Orang besar tanah air adalah “the big man water land” baginya.

 

Dia juga seorang yang rakus – voracious – minat membacanya. Dan yang turut menakjubkan saya ketika itu ialah kepantasannya membaca. Dia pembaca laju – speed reader – kerana dalam satu malam dia menghabiskan sebuah buku yang saya sendiri sudah usung ke hulu hilir buat beberapa ketika.

 

Anak desa yang dilahirkan pada tahun 1953 ini memecah tradisi persekitarannya apabila dihantar belajar ke sekolah Pesiaran English School, Semerah, pada tahun 1960.

 

Beliau  mula menulis sejak di bangku sekolah, tetapi tidak seperti pendahulunya sebagai Tokoh Wartawan Negara dia tidak menceburi dunia kewartawanan arus perdana selepas menamatkan pengajian (di Universiti Malaya).

 

Sebaliknya dia memulakan kerjaya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1977 di mana dia menyunting, antara lain majalah Dewan Siswa  dan Dewan Budaya, dan pada tahun 1988 menjadi Ketua Pengarang Bahagian Majalah DBP dengan bertanggungjawab ke atas Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Pelajar dan beberapa penerbitan lain.

 

Di bawah pimpinan beliau, majalah Dewan Masyarakat, Dewan Siswa dan  Dewan Pelajar mencatatkan rekod baru pengedaran. Malah liputan Dewan Masyarakat  berkenaan peristiwa Natrah aka Maria Hertog yang bermula keluaran Februari 1989 dan berakhir Mei telah melonjakkan  jualan majalah itu hingga mencecah 100,000 naskhah sebulan.

 

Laporan penyiasatan mengenai Natrah yang dikendalikan oleh penulis Fatini Yaakub menjadi buah mulut rakyat Malaysia ketika itu. Ia bolehlah dianggap sebagai pemberitaan forensik yang ulung dalam kewartawanan Melayu.

 

Dia juga mengambil langkah mengubah imej Dewan Masyarakat  daripada majalah terbitan badan berkanun yang pasif menjadi lebih proaktif dan bertenaga.

Bersama Almarhum Wan Umar RS (atau lebih terkenal dengan nama pena Sutung Umar RS) dan juru foto, Mohd Ali Zakaria, dia telah menyeludup masuk ke Wilayah Kunar, Afghanistan, pada musim bunga tahun 1989.

 

Di situ mereka melihat sendiri apa yang berlaku di negara itu sebaik-baik saja tentera Kesatuan Soviet mengundurkan diri dan meninggalkan kerajaan boneka Najibullah di Kabul.

 

Laporan operasi sulit mereka yang disiarkan pada bulan Jun 1989 dengan judul “Afghanistan: Derita Sebuah Bangsa” yang disertai oleh pelancaran “Tabung Pemulihan Afghanistan” telah mendapat perhatian luar biasa masyarakat.

 

Beliau kemudiannya menjadi Ketua Bahagian Penerbitan Umum DBP dengan tanggungjawab ke atas penerbitan buku.

 

Dan di situ jugalah tokoh yang akan kita masyhurkan ini menjadi “pakar jiwa” kepada seorang penulis agung yang tidak akan saya sebut namanya meluahkan isi hatinya tentang cinta, rumah tangga, sengketa dan perpisahan dengan seorang jelitawan Melayu klasik dan bintang filem terkenal dari Studio Shaw, Singapura.

 

Dan mungkin kerana diilhamkan oleh cerita cinta lara seniornya itu maka tokok kita ini mengintai-inta di sebalik kaca dan akhir memperoleh cinta hatinya sendiri.

 

Fasa Kewartawanan Arus Perdana

 

Pada tahun 1992, dia dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu – satu perkembangan yang mengejutkan dan mencetuskan pelbagai spekulasi tentang dari mana dia datang dan apa afiliasinya dengan tampuk kuasa.

 

Di bawah pimpinannya , banyak perubahan telah berlaku di kumpulan media ikonik itu. Utusan Malaysia mencatat edaran melebihi 300,000 naskhah sehari dan Mingguan Malaysia  600,000 naskhah.

 

Pada era sebelum Internet dan kewujudan media sosial, akhbar dalam bentuk tradisional merupakan pilihan utama pembaca.

 

Perubahan yang dilakukan pada kandungan dan reka bentuk menjadi tarikan tambahan kepada pelanggan dan pembaca.

 

Dia juga melakukan rombakan kandungan kepada majalah-majalah Utusan sehingga berjaya merekodkan jualan tertinggi dalam sejarah. Di antara majalah itu ialah Mastika, Mangga, Wanita, Hai dan URTV.  Utusan juga menerbitkan jurnal Pemikir  yang tidak panjang hayatnya dan Utusan Karya  khusus untuk sastera.

 

Baginya, salah satu peranan penting akhbar Melayu ialah memperluaskan dimensi ilmu, sastera dan budaya.

 

Dia tahu bahawa akhbar arus perdana merupakan gelanggang politik tetapi itu tidak menghalangnya untuk memasukkan unsur ilmu dan kecendekiawanan.

 

Banyak kolumnis yang kemudiannya menjadi nama besar dalam pelbagai bidang ilmu dan kepakaran diberikan ruang dalam akhbar di bawah pimpinannya.

 

Terima kasih kepada beliau kerana kerap menyiarkan tulisan saya!

 

Di bawah kepimpinannya, Utusan Malaysia  banyak menerbitkan laporan penyiasatan hatta yang melibatkan totok UMNO, kekebalan raja-raja dan isu politik Melayu yang sensitif.

 

Dia menyedari keterbatasan kebebasan akhbar namun ini tidak menghalangnya bersuara secara berani dan yakin. Tulisan-tulisan beliau yang tidak kompromi memberikan masalah pada akhbar pimpinannya.

 

Sebagai ketua pengarang, beliau menulis untuk kolum “Awang Selamat” dan “Selayang Pandang”. Beliau menulis “Nota Kaki” , menyumbang kepada pojok “Selentik” , “Sembang Filem” dan “Wak Cantuk”.

 

Memegang kepada prinsip maka pada 14 Julai 1998 beliau meletakkan jawatan Ketua Pengarang ekoran peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Selama beberapa tahun beliau tidak ada ruang untuk menulis – maka beliau menternak ayam dan menanam pisang – sehinggalah Tan Sri A. Samad Ismail memberikan kolum dalam New Straits Times mulai 30 November 2002. Beliau menulis kolum itu selama 13 tahun sehingga 17 Oktober 2015.

 

Beliau juga menjadi kolumnis untuk Berita Minggu dari 23 Mac 2003 hingga 11 April 2009. Bermula April 2016 beliau menjadi kolumnis akhbar The Star.

Pada tahun 2009, beliau dilantik sebagai Pengerusi Media Prima Berhad.

Selain menulis, beliau juga dikenal sebagai pengacara dan moderator pelbagai program talk show di TV, seperti “Isu Semasa”, “Debat Perdana”  “Bual Bicara” dan kini “Bicara Minda” anjuran Sinar Harian.

 

Sesungguhnya tokoh ini telah memberi sumbangan besar kepada dunia kewartawanan walaupun pada asalnya beliau mungkin dianggap “orang luar”.

 

Dimensi ilmu mencorakkan organisasi media yang beliau pimpin.

Beliau juga telah memberikan pendekatan baharu pada liputan kegiatan seni dan budaya selari dengan pembabitan beliau sendiri dalam bidang itu.

 

Beliau juga banyak mencurahkan pengalaman kewartawanan dan kesusasteraan untuk membantu semua platform berita baik penyiaran atau percetakan yang diamanahkan kepada beliau.

 

Beliau bersara dari Media Prima Berhad pada bulan Ogos 2015 meninggalkan legasi yang tersendiri.

 

Selama 40 tahun beliau ikut serta mencorakkan dunia kewartawanan tanah air kita atau “water land” dalam bahasa beliau.

 

Walaupun saya yakin ramai hadirin sudah meneka siapa orang tetapi, izinkan saya, dengan rasa besar hati dan gembira, memberikan kepada dunia kewartawanan Malaysia, Tan Sri Johan Jaaffar.

 

Terima kasih.

 

A Kadir Jasin

26 April 2019.