PNM beli 24 Karya Pemenang Kajai

 

Buku 24 Karya Pemenang Anugerah Kajai, terbitan Malaysian Press Institute (MPI) adalah antara buku yang dibeli oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bagi ditempatkan di perpustakaan-perpustakaan di seluruh negara tahun ini.

 

Bagi tujuan tersebut buku tersebut yang pertama kali dicetak pada awal 2018 akan diulang cetak bulan depan.

 

Pengurus Besar MPI, Puan Norlida Jamain berkata dengan tersenarainya buku tersebut sebagai bahan bacaan yang dibeli oleh PNM bererti karya yang memuatkan 24 pelaporan yang memenangi Anugerah Kajai, Hadiah Kewartawanan Malaysia antara 1982 hingga 2017 harus dibaca oleh mereka yang berminat dengan penulisan yang berbentuk penyiasatan.

 

“Bagi para wartawan muda yang bercita-cita untuk memenangi Anugerah Kajai yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM30,000, buku ini wajib dibaca untuk dijadikan rujukan bagi menghasilkan karya bermutu tinggi,” ujar beliau.

 

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada PNM khususnya kepada Ketua Pengarahnya, Datuk Nafisah Ahmad kerana telah memilih 24 Karya Pemenang Kajai untuk dinilai oleh panel khas PNM dan mendapati layak untuk dibeli dan diedarkan di perpustakaan-perpustakaan di seluruh Malaysia.

 

Ini kali kedua buku terbitan MPI dibeli oleh PNM. Tahun lalu, buku berjudul Terbilang Potret Tokoh Wartawan Negara turut dibeli oleh PNM.

 

Menurut Puan Norlida, 24 Karya Pemenang Kajai boleh dibeli di kedai-kedai buku utama.

 

“Selain sesuai untuk bacaan umum, buku ini juga wajib dijadikan rujukan oleh para pelajar bidang kewartawanan IPT khususnya mereka yang ingin mengetahui selok belok menghasilkan karya kewartawanan yang berorientasikan penyiasatan,” tegas beliau.

 

Mereka yang berminat juga boleh membeli buku tersebut terus daripada MPI di Cyberjaya dengan potongan harga 50 peratus.

 

Di kedai-kedai, buku tersebut dijual pada harga RM100 senaskah. Untuk judul-judul lain terbitan MPI sila layari halaman web MPI iaitu mpi.my.