PNM beli dua buku MPI untuk edaran perpustakaan desa

Dua buah buku terbitan Malaysian Press Institute (MPI) terpilih dalam projek pembelian Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk diedarkan di perpustakaan-perpustakaan desa di seluruh negara bagi 2017.

Buku-buku tersebut ialah Strategi Pemujukan Najib Razak dalam Komunikasi Politik karangan Datuk Dr. Chamil Wariya dan Terbilang Potret Tokoh Wartawan Negara iaitu sebuah buku yang menghimpunkan tulisan lapan orang wartawan dan ahli akademik mengenai 11 orang Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS.

aug 28 PNM 01Anugerah Tokoh Wartawan Negara diperkenalkan pada 1988 dan sehingga ini 11 orang wartawan terbilang Malaysia telah diberi gelaran tersebut. Mereka ialah Tan Sri A. Samad Ismail, Tan Sri Lee Siew Yee, Datuk Ishak Haji Mohamad, Tun Fuad Stephens, Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan Nordin, Tan Sri Zainudin Maidin, Datuk CC Liew, Datuk A. Kadir Jasin, Datuk Rejal Arbee dan Zainon Ahmad.

Selain Chamil yang menulis mengenai Tan Sri Mazlan Nordin, penyumbang lain Terbilang ialah: Datuk Ahmad Sebi Abu Bakar yang menulis mengenai Tan Sri A Samad Ismail; Wee Yu Meng tentang Tan Sri Lee Siew Yee, Datuk Joniston Bangkuai mengenai Tun Fuad Stephen; Tan Sri Zainudin Maidin mengenai Tan Sri Melan Abdullah; Datuk Baharom Mahusin mengenai Tan Sri Zainudin Maidin; Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican mengenai Datuk A. Kadir Jasin; Datuk A. Kadir Jasin mengenai Datuk Rejal Arbee.

Strategi Pemujukan Najib Razak Dalam Komunikasi Politik yang merupakan adaptasi tesis ijazah Doktor Falsafah yang dikemukakan oleh Chamil kepada Universiti Sains Malaysia (USM) pada penghujung 2014, diterbitkan pada 2015.

Terbilang pula diterbitkan pertama kali pada 2009 dan edisi baharu pada 2017 yang diulang cetak pada penghujung Ogos tahun yang sama bagi tujuan pembekalan program PNM.

Strategi Pemujukan Najib Razak dijual pada harga RM65 manakala Terbilang pula pada harga RM80. Kedua-dua buku itu diedarkan oleh MPH Distributors dan boleh dibeli di kedai-kedai buku utama di seluruh Negara.