RUMUSAN FORUM MEDIA KEBANGSAAN 2016

Forum Media Kebangsaan 2016 pada 28 September 2016 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, berakhir dengan jayanya lebih 100 orang yang terdiri daripada pengamal media dan ahli-ahli akademik bidang kewartawanan, media dan komunikasi telah menghadiri forum anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI) dan Institut Pengajian Kewartawanan Universiti Teknologi Mara (IJS-UiTM). Berikut dizahirkan rumusan mengenai empat topik yang dibincangkan dalam forum tersebut yang disampaikan oleh Encik Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli Pengarah, IJS-UiTM sewaktu menutup Forum Media Kebangsaan 2016.

  1. Media, Demokrasi & Hubungan Etnik di Malaysia

Dari sudut perbincangan media, demokrasi dan hubungan etnik di Malaysia, kupasan yang berlangsung pada pagi ini secara dasarnya melihat media amat berperanan khususnya apabila melibatkan hubungan etnik dan amalan demokrasi. Ia secara langsung memperlihatkan peranan langsung yang dimainkan oleh media sekaligus mengesahkan kerelevanannya dalam abad ini sebagai ‘social mobility’ yang melibatkan etnik-etnik di Malaysia serta penerusan perpaduan dan kesepaduan antara mereka tidak dapat disangkal.

Jelas kelihatan akan sumbangan yang diberikan oleh media sosial yang lebih berani dalam mengetengahkan isu-isu perpaduan yang tajam dan sensitif bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Apakah penerusan amalan media berasaskan etnik di Malaysia adalah amalan terbaik dalam mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia, atau ini sebenarnya meluaskan jurang perbezaan pandangan dan pendapat antara etnik berbilang kaum di Malaysia.

Secara keseluruhannya isu utama yang memerlukan perhatian adalah perpaduan di Malaysia masih belum mencapai satu tahap yang memuaskan. Media arus perdana sebenarnya telah pun memainkan peranannya dalam pelbagai aspek dan penekanannya kini perlu lebih terhadap aspek perpaduan tanpa meninggalkan aspek komunikasi pembangunan. Perpaduan antara kaum adalah amat penting khususnya jika kita ingin merealisasikan aspirasi Negara yang ingin menjadi Negara maju.

  1. Mendepani Cabaran dan Agenda Media Antarabangsa

Dalam membicarakan aspek cabaran dan agenda media antarabangsa para pembentang telah menyentuh sekurang-kurangnya empat perkara utama yang memerlukan perhatian serius semua pihak. Satu hakikat yang perlu diakui ialah dalam membicarakan agenda media antarabangsa ini adalah nyata. Ia adalah wujud dan jika dinilai secara evolusinya ia adalah satu proses yang panjang yang dimulai dibicarakan menerusi pengaliran berita antarabangsa yang tidak sama rata. Dalam konteks masa kini, cabaran dalam menangani media antarabangsa adalah jauh lebih hebat. Disebabkan oleh itu negara perlu mengemukakan strategi baru serta penelitian yang lebih khususnya yang melibatkan maklumat. Penggemblengan tenaga dan usaha berterusan pengamal media, institusi media dan institusi-institusi  pengajian tinggi yang mengkhusus terhadap kajian komunikasi dan media amat diperlukan.

Isu-isu yang diketengahkan oleh media barat khususnya yang ditunjangi oleh agenda Zionisme memerlukan kita untuk lebih bersifat kritikal. Antaranya membabitkan hak asasi manusia – Press Freedom, agama dan negara yang dipisahkan serta pasaran bebas yang diperjuangkan oleh barat dan agenda Zionisme.

Untuk itu media Negara perlu menjiwai aspirasi Negara dan cuba sedaya upaya untuk membingkai berita mengikut perspektif atau acuan Negara. Persoalan yang berkaitan dengan keupayaan media tempatan melaksanakannya adalah memerlukan kajian dan pandangan. Jika terdapat negara-negara yang mewujudkan agensi beritanya dalam menyalurkan berita mengikut acuan mereka, mungkin Malaysia perlu memikirkannya. Umpamanya yang melibatkan CCTV dan Media Corporation.

Dalam hubungan institusi media serantau ini memerlukan aspek ketepatan dan keadilan dalam pemberitaan. Selain itu penghasilan isi kandungan pemberitaan yang positif adalah antara penekanan yang memerlukan penelitian melewati aspek batas negara. Keupayaan merealisasikan perkara ini akan membuka jalan ke arah kerjasama yang lebih utuh antara organisasi media antara Negara.

  1. Media, Undang-undang dan Negara

Kupasan terhadap isu yang melibatkan media, undang-undang dan Negara jelas memperlihatkan satu evolusi yang panjang sejarahnya. Apa yang dikenali sebagai akta pada hari ini pada asalnya adalah bermula sebagai peraturan, ordinan dan kini sebagai akta.

Adalah jelas bahawa kebanyakan undang-undang yang kini dimiliki oleh Negara adalah diwarisi daripada penjajah British yang melibatkan akta secara langsung berasal dari Ordinan Mesin Cetak & Penerbitan 1948 sehinggalah membawa kepada Akta Penerbitan & Percetakan 1984.

Walaupun telah ada usaha yang digerakkan untuk menilai semula undang-undang yang sedia ada namun ia juga ada kaitannya dengan kesediaan pengamal media dalam menerima atau menolak kekangan-kekangan berkenaan umpamanya di sini merujuk kepada Media Council/Press Council.

Hakikatnya kini Malaysia sebenarnya wujud kebebasan dalam amalan media. Namun semua pihak tidak kira media arus perdana dan juga media sosial tidak terlepas dari tindakan mengikut akta-akta yang ada di Malaysia. Di sinilah letaknya kematangan dan kebijaksanaan pengamal media dalam penyiaran berita-berita yang berasaskan kebenaran.

Dalam usaha untuk memastikan kebajikan atau keupayaan untuk mengetahui perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan; atau boleh mengakibatkan pengamal media dikenakan tindakan undang-undang, institusi media sendiri mengambil daya usaha dari sudut undang-undang. Secara langsung memberikan ruang dan pengetahuan kepada pengamal-pengamal media.

  1. Pengajian Kewartawanan di Malaysia: Satu Penilaian Semula

Kupasan pengajian kewartawanan di Malaysia telah memperlihatkan aspek pensejarahannya yang sememangnya telah lama berlangsung. Dari peringkat dunia sehinggalah membawa kepada bertapaknya pengajian komunikasi di Malaysia yang telahpun berusia 45 tahun.

Asakan-asakan semasa ini memerlukan perubahan serta cabaran yang dirasai oleh pengajian kewartawanan. Hakikatnya teknologi adalah hambatan yang melewati pengajian kewartawanan. Tiba masanya juga perspektif pengajian kewartawanan bukan hanya melibatkan aspek teknikal/kemahiran tetapi melibatkan perspektif yang bersifat holistik. Aspek epistemologi dan sosiologi kewartawanan adalah satu kemestian. Begitu juga dengan penerapan kursus yang boleh memberikan “world view” kepada pelajar.

Satu cadangan yang dalam menjuarai Graduate School of Journalism di peringkat ASEAN yang membuka lebih ruang kepada kita dalam mengangkat kewartawanan.

Kedinamikan pengajian kewartawanan perlu/wajib dipastikan dan penerimaan hakikat akan kos pengendalian. Atas dasar itu juga kompetensi pengamal media yang memiliki pelbagai kemahiran adalah ciri-ciri yang diingini oleh industri.

Aspek perkongsian pengetahuan antara industri media dan tenaga akademik memerlukan kerjasama berterusan dalam usaha memastikan kelangsungan pengajian kewartawanan.