Senarai Pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2014

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2014 berlangsung pada 8 Jun 2015 sempena Malam Wartawan Malaysia 2015 di Hotel Istana, Kuala Lumpur. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia YB Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Berikut  adalah senarai lengkap penerima HKM MPI-PETRONAS 2014 dan justifikasi kemenangan mereka.

1. Anugerah Wartawan Muda A. Samad Ismail

Brenda Ch’ng Ai Hwa

The Star

Empat karya yang dikemukakan oleh wartawan muda akhbar the Star ini dinilai oleh panel hakim sebagai bermutu baik dari segi pemilihan topik; selain ditulis berdasarkan penyelidikan yang rapi dan mendalam menggunakan gaya bahasa yang menarik minat khalayak untuk membacanya.

Siti Khadijah Jaafar

TV3

Walaupun mungkin baru dalam kewartawanan siaran televisyen Siti Khadijah Jaafar diakui mempunyai potensi besar untuk tampil sebagai wartawan TV yang baik kerana dia mempunyai pakej yang lengkap di hadapan kamera: dari segi wajah, suara, penyampaian yang meyakinkan. Siti Khadijah juga seorang pencerita faktual yang mempersonakan dan bijak menggunakan gerak tubuh untuk mengajak penonton mengikuti item berita yang diketengahkan dari mula hingga akhir.

2. Anugerah Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang

Azrul Affandi Sobry dan Wan Noor Hayati Wan Alias

Berita Harian

Laporan yang telah membawa kejayaan mengungguli kategori ini adalah satu kupasan mengenai isu keselamatan di taman asuhan kanak-kanak atau taska. Kedua-dua wartawan menyamar sebagai pasangan suami isteri untuk memasuki beberapa taska dan berjaya  melarikan seorang bayi di Taska di Bangi. Bukti bahawa tahap keselamatan telah diabaikan. Pendedahan mereka telah membuka pelbagai isu lain mengenai taska bukan sahaja meliputi hal keselamatan, tetapi taska tidak berdaftar, ketidaksempurnaan kemudahan-kemudahan yang disediakan dan sebagainya. Laporan tiga siri yang dihasilkan telah mendapat perhatian Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang memperkenalkan dasar baharu terhadap penyediaan taska. Sistem penarafan bintang dan mewajibkan taska di premis kerajaan diperkenalkan.

3. Anugerah Laporan Berita Cemerlang

Wan Noor Hayati Wan Alias

Berita Harian

Wan Noor Hayati Wan Alias menampilkan tiga laporan berita untuk muncul sebagai pemenang bagi kategori ini untuk membuktikan konsistensi beliau dalam berkarya sepanjang 2014. Laporan-laporan yang dihasilkan mengenai bekalan ikan ghaib, penguatkuasa belot dan nasib penghuni Hospital Bahagia Tampoi dinilai oleh panel hakim mempunyai nilai berita yang tinggi. Hasil kerja beliau juga rapi dari segi penyelidikan. Hasilnya bukti-bukti primer dimanfatkan untuk menguatkan hujah penulisan. Wan Noor Hayati juga adalah penerima Hadiah Kajai tahun lalu.

4. Anugerah Kewartawanan Siasatan Cemerlang

Siti Rohaizah Zainal, Zulkiflee Bakar dan Mohd Shariza Abdullah

Utusan Malaysia

Berita yang mendedahkan penyelewengan diesel bersubsidi sering dipaparkan oleh media – cetak dan elektronik. Tetapi dalam laporan kerja berpasukan tiga orang wartawan Utusan Malaysia, mereka telah mengangkat berita penyelewengan diesel bersubsidi dengan mendedahkan perbuatan musang berbulu ayam dalam kalangan para penguatkuasa yang diamanahkan untuk membanteras penyelewengan. Secara berani, Siti Rohaizah Zainal, Zulkiflee Bakar dan Mohd Shariza Abdullah mendedahkan bahawa pengkhianatan yang dilakukan oleh segelintir penguatkuasa sehingga penyelewengan berlaku berterusan. Tindakan curang mereka itu adalah ibarat pagar yang makan padi. Pendedahan mereka tidak sia-sia. Laporan mereka telah membawa kesan yang positif: pihak kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi telah melancarkan operasi Ops Titik dengan merampas diesel yang diselewengkan bernilai berjuta-juta ringgit. Ini disusuli dengan tindakan undang-undang ke atas para penguatkuasa yang khianat.

5. Anugerah Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang

Arman Ahmad

New Sunday Times

Laporan yang memenangi kategori ini adalah tulisan mengenai kehidupan di Aceh sepuluh tahun selepas dilanda tsunami pada 26 Disember 2004. Sebagai wartawan muda sewaktu tragedi itu berlaku, Arman Ahmad telah ditugaskan untuk membuat liputan. 10 tahun kemudian, beliau kembali ke Aceh untuk melihat sendiri pembangunan semula wilayah itu. Menggunakan apa yang diperhatikan beliau pada Disember 2004, beliau berupaya untuk merakamkan perubahan yang berlaku di sana apabila berpeluang ke Aceh pada Disember 2014. Pemerhatian tajam beliau, berdasarkan temu ramah dengan kalangan yang memulakan penghidupan baharu di Aceh itu kemudian diterjemahkan dalam tulisan yang menyentuh perasaan.

 6. Anugerah Penulisan Rencana Cemerlang

Aninah Janang

Dewan Masyarakat

Artikel-artikel yang dihasilkan oleh Aninah memperlihatkan dia seorang penulis yang tajam pemerhatiannya terhadap subjek dan topik yang diperkatakan. Ketajaman pemerhatian itu, baik mengenai sekolah pondok di Grik atau wira di dasar laut, kemudian diterjemahkan menjadi satu penceritaan yang mengasyikkan untuk dibaca. Kebijakan beliau mentafsir mauduk yang dibicarakan dalam perspektif dan konteks latar lokal dan nasional menjadikan karya-karya yang dihasilkan mudah difahami oleh pembaca. Kekuatan Aninah, anak kelahiran Sabah, adalah dari segi penggunan elemen-elemen kebahasaan yang pelbagai, menjadikan rencana-rencananya tidak bosan untuk diikuti dari para pertama hinggalah ke perenggan terakhir.

7. Anugerah Penulisan Kolum/Ruangan Cemerlang

Azman Anuar

Mingguan Malaysia

Berdasarkan tulisan-tulisan yang dikemukakan untuk HKM ini, Azman Anuar adalah seorang kolumnis yang versatil. Cara beliau mendekati topik yang diperkatakan adalah bersahaja seolah-olah khalayak tidak dipaksa untuk mengikuti kolum mingguan beliau. Beliau juga berupaya, melalui kolumnya mengusik, mencuit, menyindir nakal kalangan tertentu yang disentuh, tetapi tidaklah sampai menyakitkan hati. Beliau juga adalah seorang pengamat tajam pelbagai isu dan sering melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat. Inilah kekuatan Azman sebagai seorang kolumnis.

8. Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang-PETRONAS

Sheila Sri Priya Raman Chetty

The Star

Laporan yang memaparkan pencemaran yang berlaku di sepanjang Sungai Klang akibat kesan pembuangan sampah secara haram dan secara besar-besaran telah melayakkan Sheila Sri Priya mengungguli kategori ini. Laporan beliau dinilai oleh panel sebagai menyeluruh dan mendalam. Kupasan terhadap topik yang diperkatakan dibuat dari pelbagai sudut dan dihasilkan melalui kerja-kerja penyelidikan yang rapi.

9. Anugerah Kewartawanan Foto Cemerlang

Khairull Azry Bidin

Harian Metro

Foto yang memenangi anugerah ini adalah rakaman sepasang suami isteri yang duduk termenung di atas tangga rumah mereka yang telah dihanyutkan oleh bah besar di salah sebuah negeri di pantai timur. Mereka merenung jauh, barangkali mengenang musibah yang menimpa mereka sebaik sahaja dibenarkan kembali ke rumah. Detik-detik yang cukup menyayat hati dirakam oleh Khairull Azry Bidin dan diterbitkan dalam Harian Metro. Benarlah kata orang, sekeping foto mampu menceritakan apa yang tidak mampu dizahirkan oleh seribu kata-kata. Foto yang menang ini mengisahkan segala-galanya!

10. Anugerah Esei Foto Cemerlang Hadiah RM12,000.00

Osman Adnan

New Straits Times

Esei foto Osman Adnan ini mengisahkan Mohd Subki Mohd Ariffin seorang bersemangat waja yang hanya ada sebelah tangan. Kecacatan jejaka berusia 33 tahun itu tidak menghalang beliau untuk menyertai pertandingan Iron Man Putrajaya yang memerlukan Subki berenang, berbasikal dan melakukan larian jarak jauh. Detik-detik Subki, bekas seorang olahragawan asal Terengganu, yang hilang sebelah tangan dalam kemalangan motosikal 13 tahun yang lalu, telah dirakamkan dengan baik oleh Osman dan seterusnya melayakkan beliau memenangi Esei Foto Cemerlang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2014.

11. Anugerah Berita Video/TV Cemerlang

Ahmad Farith bin Zahir dan Fifi Izwan Roslan

TV9

Betapa mudahnya senjata api diseludup di kawasan sempadan Malaysia-Thailand memang sesuatu yang menjadi buah mulut ramai. Tetapi bagaimanakah penyeludupan senjata api itu berlaku? Untuk mengetahuinya, wartawan Ahmad Farith dan jurukamera Fifi Izwan Roslan sanggup menggadai nyawa dengan melakukan sendiri kegiatan penyeludupan itu, dengan mennggunakan pintu sah keluar masuk di sempadan. Berdasarkan perjalanan mereka, mereka tiada masalah melepasi pemeriksaan pihak berkuasa untuk membawa senjata secara haram ke negara ini. Mereka juga tiada masalah untuk bertemu dengan kalangan yang boleh membantu mereka untuk membeli senjata sehingga ke Bangkok, kemudian di bawa masuk ke Malaysia. Bagi melengkapkan laporan penyiasatan mereka, Farith turut mendapat komen Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyedari kegiatan penyeludupan senjata api itu. Bagi beliau kegiatan itu hanya boleh diatasi dengan pembinaan tembok di sepanjang sempadan Malaysia dan negara Thai.

12. Anugerah Dokumentari Video/TV Cemerlang

Rapitah bt Sulaiman dan Dasni Daud

TV1, RTM

Kekuatan sebuah dokumentari televisyen bergantung kepada dua elemen iaitu pertama pengolahan penceritaan menurut kaca mata sang wartawan dan kedua, visual yang digunakan untuk memantapkan penceritaan. Supaya dengan itu apa yang cuba dizahirkan oleh teks, disokong oleh visual. Dalam Lestari Ujana Marin, wartawan Rapitah bt Sulaiman dan jurukamera Dusni Daud berkongsi kepakaran masing-masing sebagai pencerita TV untuk menghasilkan sebuah karya yang memenuhi kedua-dua elemen itu. Dokumentari mengenai usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah marin di taman-taman laut di Sabah ini, menurut kaca mata seorang penyelidik, menjadi hidup kerana visual-visual yang ditampilkan cukup mempersona dan indah. Keindahan semula jadi khazanah alam di dasar laut berupaya dipaparkan dengan cara yang agak memukau.

13. Anugerah Khas

Datuk Seri Azman Ujang

theSun

James Sardahthisa

Daily Express

Anugerah ini diberi sebagai mengiktiraf ketokohan dan kecemerlangan dua orang wartawan veteran tanah air ini dalam memartabatkan bidang kewartawanan secara berterusan melalui karya masing-masing. Bermula sebagai pemberita kadet dalam organisasi berita di mana mereka pernah berkhidmat, mereka akhirnya sampai ke puncak. 

Datuk Seri Azman Ujang meninggalkan Bernama sebagai pengurus besar dan pernah menjadi ketua pengarang agensi berita itu. Kini beliau menulis dalam ruangan mingguan dengan akhbar theSun.

James Sardahthisa juga bermula dari bawah dan kini merupakan Ketua Pengarang akhbar terkemuka di Kota Kinabalu, Daily Express. Beliau juga menulis kolum seminggu sekali untuk akhbar itu sekarang.

Kedua-dua mereka telah melakar nama besar yang tersendiri dalam kewartawanan Malaysia.

14. Anugerah Kajai

Haris Hussain

Farrah Naz Karim

Aliza Shah Muhammad Shah

New Straits Times

Tindakan kerajaan Negeri Selangor mengepam air bekas lombong ke Sungai Selangor, kemudian dibekalkan kepada dua juta pengguna di Lembah Klang telah mendorong pasukan tiga orang wartawan New Straits Times ini melakukan siasatan sama ada dakwaan kerajaan negeri yang mengatakan air itu selamat untuk digunakan adalah benar atau tidak. Contoh air yang dipam itu telah mereka ambil dan dihantar ke makmal dan hasilnya: air itu adalah tercemar dan mengandungi tidak kurang empat logam yang melebihi paras bahaya. Menggunakan bukti-bukti saintifik dan meyakinkan itu, Haris Hussin, Farah Naz Karim dan Aliza Shah Muhammad Shah telah menyediakan satu siri laporan yang komprehensif, membabitkan pakar-pakar, NGO pengguna, dengan satu matlamat: menghentikan penyaluran air lombong yang berbahaya itu untuk digunakan oleh 2 juta orang. Laporan pertama mereka terbit pada 7 Mei 2014. Kerajaan Negeri Selangor pada mulanya berdolak dalik mengatakan air lombong itu selamat. Tetapi pada 20 Jun 2014, EXCO yang bertanggungjawab, Dr. Ahmad Yunus Hairi akhirnya mengalah: beliau mengumumkan kerajaan Selangor akan menghentikan penyaluran air lombong berkenaan kepada pengguna di Lembah Klang. Pada waktu yang sama, Kementerian Kesihatan mengumumkan langkah untuk menggubal Akta Kualiti Air yang bertujuan untuk menjamin air yang dibekalkan kepada pengguna menepati piawai tinggi untuk memastikan air itu adalah selamat.