MPI release
SPRM mahu jalin kerjasama dengan MPI

SPRM mahu jalin kerjasama dengan MPI

Cyberjaya – Malaysian Press Institute (MPI) menerima kunjungan para pegawai Bahagian Komunikasi Strategik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang 17 Julai yang lalu.

SPRM diketuai oleh Pengarah Bahagian Komunikasi Strategiknya, Encik Ismajuri bin Ismail hadir ke MPI bersama empat lagi pegawainya iaitu Encik Azrai bin Mohammad, Cik Nor Zeera binti Mohamad, Encik Muhamad Azrin Md Heder dan Cik Lily Yean.

Manakala MPI diketuai oleh Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutifnya. Turut sama menyertai pertemuan Puan Norlida Jamain, Pengurus Besar/Ketua Sekretariat MPI; Puan Norhafiza Kamaludin, Pengurus Latihan; Puan Nuzatul Shima Sulaiman, Pengurus Pembangunan Pemasaran dan Perniagaan; dan Encik Salman Husni Abdollah, Eksekutif Anugerah dan IT.

Hasil pertemuan dan perbincangan selama satu jam setengah antara MPI – SPRM, kedua-dua belah pihak bersetuju beberapa jenis program akan dilaksanakan khusus kepada para pegawai dan pengurusan tertinggi SPRM.

Pihak SPRM juga berminat dengan cadangan MPI untuk mengadakan program bersama media tentang isu rasuah dalam usaha memberikan pencerahan kepada pengamal media tentang fungsi dan peranan SPRM berikutan terdapat persepsi negatif dalam kalangan masyarakat yang perlu ditangani.

Puan Norhafiza akan mewakili MPI untuk berbincang lebih terperinci dengan Cik Nor Zeera, pegawai SPRM bagi mendapatkan skop yang lebih spesifik tentang hala tuju dan objektif penganjuran kursus tersebut untuk disuaipadan dengan pembangunan modul yang akan dikemukakan kepada pihak SPRM.

Pada akhir pertemuan, menurut Encik Ismajuri, “ternyata pihak kami tidak salah memilih MPI untuk menjalin kerjasama berdasarkan latarbelakang dan kepakaran yang dimiliki MPI”.

1. Para pegawai SPRM mendengar sejarah ringkas MPI yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Chamil Wariya (kanan).
2. Datuk Dr. Chamil menghadiahkan buku MPI kepada Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, SPRM, Encik Ismajuri sebagai tanda penghargaan.
3. Para pegawai MPI dan SPRM bergambar kenang-kenangan selepas tamat perbincangan.