Terkini – Tetamu Kehormat Malam Wartawan Malaysia 2015

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek akan menggantikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin sebagai tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2015 yang bakal berlangsung pada 8 Jun 2015 di Hotel Istana Kuala Lumpur, jam 8 malam.

YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Encik Hisham Abdul Hamid kepada Malaysian Press Institute (MPI).

Sementara itu, Pegawai Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Encik Hafiz bin Abdul Halim memaklumkan bahawa atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin  Haji Mohd Yassin yang pada mula dijadualkan menjadi tetamu kehormat majlis itu, tidak dapat hadir.

“Tan Sri TPM menyampaikan salam dan memohon maaf,” kata Hafiz sewaktu menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya memaklumkan keputusan itu.

Hafiz juga memberitahu, Timbalan Perdana Menteri berharap Malam Wartawan Malaysia 2015 yang dirancang berjalan dengan baik dan jayanya walaupun ketiadaannya.

Tan Sri Muhyiddin adalah tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2014 yang diadakan di One World Hotel, Petaling Jaya.

Dato’ Sri Ahmad Shabery, yang telah mengesahkan kehadiran untuk malam itu, akan menggantikan Timbalan Perdana Menteri sebagai tetamu kehormat.

Malam Wartawan Malaysia 2015 diadakan khusus untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2014.

Hampir 900 orang tetamu, sebahagian besarnya pengamal, peneraju dan pemimpin organisasi berita dijangka memeriahkan malam itu.

Bagi majlis ini 57 entiti telah menghulurkan sumbangan bernilai RM462,000.00 untuk menjayakan majlis yang merupakan perhimpunan terbesar golongan pengamal media yang turut disertai oleh tokoh-tokoh korporat terutamanya kalangan yang berkhidmat dalam bidang perhubungan awam dan komunikasi korporat.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya berkata sambutan besar dan berterusan yang diberikan oleh sahabat-sahabat korporat MPI  menunjukkan terdapat kerjasama yang akrab antara para wartawan dengan pengamal perhubungan awam dan komunikasi korporat.

Beliau juga merakamkan penghargaan atas kesudian Dato’ Sri Ahmad Shabery menjadi tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang HKM MPI PETRONAS pada Malam Wartawan Malaysia 2015.

Menurut Datuk Dr. Chamil, sejak menjadi Menteri Penerangan pada 2008 dan kemudiannya Menteri Komunikasi dan Multimedia pada 2011, Dato’ Sri Ahmad Shabery adalah penyokong tegar MPI dengan menghadiri majlis-majlis utama yang ia anjurkan.

Malam Wartawan Malaysia, anjuran MPI, pertama kali diadakan pada 16 September 1981 bertujuan untuk mengiktiraf karya-karya cemerlang yang dihasilkan oleh wartawan negara setiap  tahun.

PETRONAS adalah penaja HKM sejak 1994 dan telah membuat komitmen untuk kekal sebagai penaja utama HKM untuk tempoh yang tidak ditetapkan bagi HKM tahun hadapan dan selanjutnya.