TIGA KAYU UKUR NILAI PENYERTAAN ANUGERAH MEDIA KKLW 2016

Ucapan Datuk Dr. Chamil Wariya, Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) pada Malam Anugerah Media Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Hotel Premiera, Kuala Lumpur, 25 November 2016, jam 8.30 malam

  Pertama-tama saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), khususnya kepada menterinya, YB Dato Sri Ismail Sabri Yaakob atas penganjuran majlis ini pada malam ini. Selain bertujuan untuk meraikan para pengamal media yang secara langsung dan tidak langsung telah mengabdikan diri dalam membuat liputan terhadap KKLW dan agensi-agensi yang berada di bawah naungannya, majlis ini diadakan untuk mengiktiraf kalangan wartawan yang telah menghasilkan karya-karya cemerlang mengenai isu-isu yang menyentuh pembangunan luar bandar dan wilayah.

Sesungguhnya usaha terpuji KKLW ini akan disambut baik oleh fraterniti kewartawanan di negara ini khususnya mereka yang bekerja di Kuala Lumpur. Sebenarnya kerja-kerja yang mereka lakukan sebagai wartawan tidaklah mengharapkan sebarang balasan kerana melaporkan kegiatan KKLW adalah rutin harian mereka. Tetapi jika pihak KKLW ingin menghargai golongan wartawan, seperti yang dilakukan pada malam ini, kami menerimanya dengan penuh kesyukuran, bak kata orang kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Sekali lagi, terima kasih YB Dato Sri.

  Seterusnya, bagi pihak Malaysian Press Institute (MPI) saya ingin menzahirkan penghargaan kepada pihak KKLW kerana mengamanahkan MPI untuk bertindak sebagai sekretariat penghakiman bagi Anugerah Media KKLW 2016. Saya ingin memaklumkan bagi anugerah Media KKLW 2016 ini, tiga kategori telah dipertandingkan iaitu kategori media cetak; media elektronik – TV dan foto. Bagi setiap kategori ada tiga pemenang – iaitu tempat pertama, kedua dan ketiga. Sekiranya bagi kategori yang dipertandingkan tidak ada yang layak menduduki tiga tempat itu, maka panel hakim boleh menggunakan budi bicaranya untuk memberi hadiah sagu hati.

  Bagi kategori media cetak, 65 orang wartawan telah mengemukakan penyertaan. Untuk TV pula, pihak sekretariat menerima 28 penyertaan. Bagi foto, kita menerima 7 penyertaan daripada dua orang jurugambar. Oleh kerana Anugerah KKLW ini agak niche atau khusus sifatnya iaitu mengenai isu-isu yang menyentuh kemajuan luar bandar, jumlah penyertaan yang menyertai anugerah ini mungkin dilihat kecil, memang telah diduga. Lainlah kalau kalau anugerah itu bersifat massa, apa juga isu dan topik boleh dikemukakan.

  Secara keseluruhannya panel hakim mendapati dalam kalangan karya yang dinilai, sebahagian besarnya adalah menepati genre yang dinyatakan. Karya yang tidak jelas tema pembangunan luar bandarnya adalah kecil. Tiga kayu ukur telah digunapakai untuk menilai penyertaan iaitu pertama, kandungan (sama ada isu yang diperkatakan relevan dengan skop dan tema anugerah); kedua, maklumat yang dipaparkan, (dinilai di sini sama ada maklumat itu primer atau sekunder atau sekadar maklumat biasa dan maklumat yang digunakan juga boleh menggambarkan kesungguhan kerja-kerja penyelidikan yang telah dilakukan) dan ketiga, penggunaan bahasanya – sama ada kata-kata yang membentuk ayat mudah difahami dalam menyampaikan mesej.

  Bolehlah dirumuskan bahawa melalui artikel-artikel yang dikemukakan, mesej yang ingin diketengahkan adalah jelas: bahawa pembangunan luar bandar tidak pernah diabaikan oleh kerajaan dan pihak KKLW dan agensi-agensinya telah memainkan peranan yang besar dalam usaha untuk mentransformasi kawasan-kawasan pendalaman supaya tidak ketinggalan dalam arus pemodenan negara. Malah ada antara artikel yang dihasilkan dan program TV, baik berbentuk berita, majalah, laporan khas dan dokumentari dianggap refreshing dalam melaporkan usaha-usaha kerajaan memajukan luar bandar di negara ini.

 Bagi Anugerah KKLW yang akan datang, mungkin bilangan tiga kategori yang ditawarkan tahun ini boleh ditambah untuk meliputi radio, portal berita, blogger, antara lainnya, bagi menggambarkan landskap semasa dunia media era digital sekarang ini. Sebagai galakan, ganjaran kewangan yang diberikan juga boleh ditingkatkan.

  Akhir sekali, sekali lagi tahniah kepada KKLW dan menterinya, YB Dato Sri Ismail Sabri Yaakob atas daya usaha yang telah diambil untuk menganjurkan Anugerah Media KKLW 2016 ini. Semoga anugerah ini dapat diteruskan pada tahun 2017 dan seterusnya.

img_0149-1280x853

  1. Datuk Chamil ketika menyampaikan ucapan aluan pada Malam Media KKLW 2016