TPM lulus peruntukan RM250,000 kepada MPI

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meluluskan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Malaysian Press Institute (MPI) bagi membiayai kegiatan-kegiatan MPI bagi sepanjang 2017 khususnya bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2017 yang telah pun diadakan pada 21 April lalu.

Penyerahan cek peruntukan itu berlangsung di pejabat Timbalan Perdana Menteri pada 11 Mei 2017 pada jam 4 petang.

Mewakili MPI untuk menerima cek tersebut ialah Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Chamil Wariya.

Sebagai tanda kenangan Datuk Dr. Chamil telah menyerahkan dua buah naskah buku terbaharu terbitan MPI iaitu Isu-isu Semasa Media dan Kewartawanan: Krisis dan Strategi  serta Perjalanan Lima Dekad MPI.

Chamil menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Dr. Zahid atas kemurahan hati beliau meluluskan peruntukan RM250,000 itu.

Kata beliau: “ Ini adalah kali kedua Timbalan Perdana Menteri meluluskan peruntukan kepada MPI. Kali pertama ialah pada 2015 di mana beliau meluluskan RM500,000 bagi membiayai kegiatan-kegiatan MPI.

“Saya berterima kasih kepada Dato’ Seri Dr. Zahid kerana amat prihatin dengan kegiatan MPI yang merupakan sebuah yayasan yang tidak bermotifkan keuntungan dalam menyediakan latihan kepada golongan wartawan di negara ini.”

Menurut Chamil, selain mengadakan kursus-kursus yang bertujuan untuk menajamkan kemahiran kewartawanan pengamal media, MPI juga turut menjadi entiti yang mengiktiraf karya-karya cemerlang dalam dunia kewartawanan dan setiap tahun ia menganjurkan Malam Wartawan Malaysia sejak majlis itu pertama kali diadakan pada September 1981.

Beliau berharap sokongan kerajaan terhadap MPI, yang juga menerima geran operasi sebanyak RM200,000 setahun bagi membiayai latihan akan diteruskan pada masa-masa akan datang. Malah beliau mengharapkan geran tersebut ditambah untuk membolehkan MPI terus bergiat aktif dalam menyediakan kursus-kursus latihan kewartawanan multimedia.

Selain MPI, tujuh pertubuhan lain yang menerima sumbangan peruntukan daripada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ialah Yayasan Kemanusiaan Muslim AID Malaysia; Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia; Persatuan Veteren MAYC Malaysia; Yayasan Pendidikan Maahad Tahfiz Al-Quran Addin, Perak; Majlis Belia Felda Malaysia; Sekolah Alam Shah Putrajaya MUBARAK dan Yayasan Jiwa Malaysia.

Rakaman gambar-gambar:

Mei 12 tpm 01YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan peruntukan kepada MPI yang diterima oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr. Chamil Wariya.

 

Mei 12 tpm 02Sebagai tanda penghargaan MPI, Datuk Dr. Chamil menyerahkan buku-buku kewartawanan baharu terbitan MPI kepada YAB Timbalan Perdana Menteri.

 

Mei 12 tpm 03Datuk Dr. Chamil (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama wakil pertubuhan yang lain di bilik menunggu sementara menantikan giliran menerima sumbangan masing-masing.