Trofi eksklusif untuk pemenang HKM 2015

 logo MPI

KENYATAAN MPI

Trofi eksklusif untuk pemenang HKM 2015

 

Buat julung kalinya, para pemenang utama Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2015 (HKM 2015) akan membawa pulang sebuah trofi eksklusif, selain hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM300,000 tajaan PETRONAS dan sijil.

Pemberian trofi sebagai hadiah tambahan ini diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Induk Penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2016 pada 24 Mac 2016.

Jawatankuasa itu terdiri daripada Ahli Majlis Pentadbir MPI dan wakil PETRONAS selaku penaja utama HKM 2015.

Dari segi rekaan trofi yang dipilih, seperti yang dipaparkan di bawah, memperlihatkan nilai-nilai estetika kewartawanan yang tinggi.

Pada trofi itu tertulis Hadiah Kewartawanan Malaysia 2015, logo penganjur iaitu Malaysian Press Institute (MPI) dan logo penaja iaitu PETRONAS.

Kategori yang dimenangi juga dinyatakan pada trofi yang direka khas oleh Encik Masiri Yatim yang merupakan seorang grafik artis yang pernah berkhidmat dengan TV3 dan Berita Publishing. Beliau kini mengendalikan perniagaannya sendiri.

APR 11 Anugerah HKM

Bagi HKM 2015, MPI menerima 438 penyertaan bagi 18 kategori utama yang dipertandingkan. Ini termasuk lima kategori baharu yang diperkenalkan buat pertama kalinya bagi HKM 2015.

Penyertaan terbaik dalam kalangan 18 kategori itu akan dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kajai yang merupakan anugerah tertinggi yang boleh diterima oleh mana-mana wartawan yang telah menghasilkan karya pada tahun berkenaan.

Setiap kategori akan mempunyai seorang pemenang utama dan dua pemenang hadiah saguhati kecuali untuk kategori Anugerah Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kajai, Anugerah Khas Juri dan Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail yang tidak menawarkan hadiah sagu hati.

Para pemenang utama bagi 15 kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, sebuah trofi HKM dan sijil penghargaan.

Dua pemenang saguhati akan menerima RM1,000 dan sijil penghargaan.

Hanya pemenang utama sahaja akan naik ke pentas utama untuk menerima hadiah tersebut.

Untuk kategori Tokoh Wartawan Negara dan Hadiah Kajai, setiap penerima akan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, sebuah trofi HKM dan sijil penghargaan.

Hadiah kepada para pemenang HKM MPI PETRONAS 2015 bernilai RM300,000 ditaja oleh syarikat minyak negara, PETRONAS. PETRONAS adalah penaja HKM sejak 1994.

Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) merupakan satu majlis berprestij untuk bidang kewartawanan yang dianjurkan oleh MPI sejak 1980.

Penyampaian hadiah untuk HKM 2015 akan dilangsungkan pada Malam Wartawan Malaysia 2016 yang dijadualkan pada 20 Mei 2016 di The Majestic Hotel Kuala Lumpur.

800 orang tetamu, sebahagian besarnya wartawan dan juga rakan-rakan korporat dijangka memeriahkan malam tersebut.

Hadiah kepada para pemenang akan disampaikan sepenuhnya oleh ketua-ketua eksekutif organisasi berita arus perdana negara ini. Tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2016 akan menyampaikan hadiah utama HKM 2015.

40 entiti korporat, kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan mengesahkan kehadiran institusi masing-masing melalui pembelian meja bagi menjayakan malam itu.

APR 11 mesy

Ahli Jawatankuasa Induk Penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2016 yang bermesyuarat pada 24 Mac lalu mendengar pandangan yang disampaikan oleh Pengerusi Bersama MWM 2016 iaitu Datuk Mustapa Omar (menghadap kamera, berbaju biru) dan Datuk Dr. Chamil Wariya(menghadap kamera, berjaket biru gelap)

Mesyuarat selama satu jam yang berlangsung itu turut dihadiri oleh Datuk Zakaria Abd Wahab, Ketua Pengarang BERNAMA; T. Selva, Pengarang Perunding Kanan, Latihan & Hal Ehwal Perundangan THE STAR; Francis Fahir, Presiden Persatuan Wartawan Sabah; Sri Diah Shaharuddin, Pengurus Besar Grup Buku Kumpulan Karangkraf; Azri Atan, Pengurus Perkhidmatan Editorial TV3; Ainol Amriz Ismail, Pengurus Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan; Foo Tick Fat, Pengarang Bersekutu Nanyang Siang Pau dan wakil PETRONAS Auliya Rasyid.

 

Dikeluarkan pada :

11 April 2016

Malaysian Press Institute

2945 Jalan Bukit Ledang Off Jalan Tuanku Abdul Halim

50490 Kuala Lumpur