TV AlHijrah usul bawa siaran langsung penganjuran MWM 2020

11 September, Cyberjaya – MPI menerima kunjungan para pegawai pengurusan TV ALHijrah yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Namanzee Harris.

Ini merupakan pertemuan pertama kali antara CEO MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya dan Encik Namanzee selepas lantikan beliau sebagai CEO baharu TV Al Hijrah mulai Julai yang lalu.

Dalam pertemuan selama sejam itu, Encik Namanzee menyatakan kesediaan pihaknya membawakan siaran langsung penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) sempena Malam Wartawan Malaysia (MWM) yang dijangka pada awal April 2020.

Menurut Encik Namanzee, “sekiranya kertas cadangan ini dipersetujui dengan izin oleh pihak MPI, ia akan menjadi satu sejarah dalam penganjuran HKM yang sekian lama diperkenalkan untuk mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan. Ia juga mampu membuka mata audiens tentang industri kewartawanan di Malaysia”.

Usul tersebut disambut baik oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI yang menyatakan cadangan tersebut pernah dimajukan kepada sebuah stesyen televisyen tetapi ditolak atas faktor nilai berita.

Datuk Dr. Chamil menambah “sesuatu yang baharu mungkin akan terhasil sekiranya usul ini berjaya direalisasikan”.

Di akhir pertemuan, Datuk Dr. Chamil juga meminta dan menyarankan agar TV AlHijrah secara aktif menyertai program-program latihan atau anugerah yang dianjurkan oleh MPI.

Dari kiri: Puan Ida (MPI), Encik Syed Azwan Syed Ali, Penerbit dan Editor TV; Tuan Haji Suffian, Pengurus Besar Jabatan Kejuruteraan dan Sokongan Penyiaran; Encik Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Datuk Dr. Chamil Wariya; Encik Saifulnizan Sidek, Ketua Perhubungan Korporat; Tuan Haji Ardi Herman, Ketua Jabatan Berita dan Ehwal Semasa dan Puan Shima (MPI).