UCAPAN ALU ALUAN CEO MALAM WARTAWAN MALAYSIA, 21 APRIL 2017

Selamat datang dan terima kasih

Ucapan aluan-aluan Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2017, Datuk Dr. Chamil Wariya pada Malam Wartawan Malaysia 2017 pada 21 April 2017, Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, jam 8.30 malam. 

Selamat datang ke Majlis Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia 2017. Dan terima kasih kepada YAB Datuk Seri Perdana Menteri dan isteri serta semua yang hadir atas kesudian melapangkan waktu bagi memeriahkan majlis pada malam ini.

Hanya sebentar sahaja lagi, 73 orang wartawan akan mencatatkan nama masing-masing dalam senarai daftar Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS. 37 orang akan dinobatkan sebagai pemenang, baik secara individu atau secara bersama bagi 20 kategori yang mereka sertai dalam anugerah tersebut. 36 yang lain dinamakan sebagai penerima sagu hati.

Pemenang solo akan membawa pulang RM10,000; seandainya berpasukan wang tunai itu akan dikongsi sama rata. Penerima sagu hati pula akan membawa pulang RM1,000, juga dikongsi sama rata jika kerja yang dihasilkan adalah berkumpulan.

Hadiah wang tunai, secara keseluruhannya berjumlah RM300,000 serta trofi dan sijil Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS adalah tajaan PETRONAS (yang menaja anugerah ini sejak 1994).

Penganjuran majlis yang amat sederhana pada malam ini dibiayai oleh sumbangan daripada 61 entiti yang terdiri daripada 34 organisasi korporat dan agensi-agensi kerajaan; 11 organisasi media dan 11 orang penyumbang individu.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PETRONAS  dan pihak—pihak lain yang identitinya tersenarai dalam buku cenderahati yang diedarkan pada majlis ini.

Saya juga berterima kasih kepada YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang membenarkan Briged Kesenian Kementerian Dalam Negeri menghiburkan para tetamu sebentar lagi. Saya juga menghargai peruntukan khas yang diberikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri bagi melakukan kegiatan-kegiatan kewartawanan yang lain, termasuk penganjuran penganugerahan Tokoh Wartawan yang insya-Allah akan kita adakan pada hujung tahun ini. Kita ada tiga pencalonan untuk penganugerahan itu.

Hanya Allah SWT berupaya membalas budi baik kalian.

Malam Wartawan Malaysia ini, anjuran MPI pertama kali diadakan pada September 1981 bertujuan untuk mengiktiraf karya-karya cemerlang yang dihasilkan oleh para wartawan.

Sesuai dengan perubahan teknologi komunikasi maklumat, pengiktirafan itu hari ini telah dilebarkan untuk meliputi semua platform penyampaian maklumat yang berpaksikan kerja-kerja kewartawanan – suratkhabar, television, radio, dan portal berita dalam talian. Semua elemen utama kewartawan, bermula dari pengumpulan berita membawalah kepada penerbitan diberi pengiktirafan dalam HKM MPI PETRONAS ini.

Kepada pemenang dan penerima sagu hati, tahniah diucapkan. Kepada yang tidak berjaya, cuba lagi tahun hadapan.

Akhirnya, sekali lagi saya bagi rakan-rakan dalam Majlis Pentadbir MPI ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri dan isteri; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Presiden dan CEO PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta dif-dif kehormat yang lain atas kesudian hadir untuk meraikan komuniti wartawan Malaysia di majlis ini.

Sebelum berundur, saya menyusun jari sepuluh, memohon maaf bagi apa juga kelemahan penganjuran pada malam ini.

Wabilahitaufikwalhidayahwasalamualaikumwarahmatullah.