MPI terima sumbangan RM331,000 jayakan Malam Wartawan Malaysia 2018

Ucapan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Dr. Chamil Wariya pada majlis penyerahan sumbangan Malam Wartawan Malaysia 2018 pada 12 April 2018 di WOW Kuala Lumpur jam 11 pagi.

Syukur alhamdulilah, setelah setahun berlalu, kita bersua kembali pada majlis penyerahan sumbangan, kali ini bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2018 yang akan kita adakan dalam waktu yang terdekat ini.

Bagi pihak MPI, saya ingin mengalu-alukan kehadiran YBhg Datuk-datuk, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang mewakili organisasi masing-masing untuk menyampaikan sumbangan sebentar lagi.

Saya bersyukur kerana penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2018, seperti tahun-tahun sebelumnya, terus mendapat sokongan yang memberangsangkan sama ada dari segi penajaan meja, menghulurkan sumbangan kewangan dan juga barangan bagi dijadikan sebagai kenangan untuk dibawa pulang; atau cabutan bertuah pada majlis itu nanti.

Bersama-sama kita pagi ini ialah wakil 22 badan korporat, agensi kerajaan dan organisasi media iaitu sebahagian daripada 37 entiti yang telah mengesahkan untuk menghulurkan sumbangan bagi merealisasikan Malam Wartawan Malaysia 2018.

Secara kolektif, sumbangan yang MPI terima setakat ini berjumlah RM331,000. Pecahannya adalah seperti berikut:

Pembelian meja: 25 organisasi

Penyumbang kewangan: 6 organisasi

Organisasi media: 6

Sebenarnya MPI merancang untuk mengadakan majlis tahunan ini pada 4 Mei 2018, tetapi Majlis Pentadbir membuat keputusan pada mesyuaratnya yang lalu, untuk menundanya bagi memberi laluan kepada PRU ke-14 yang sedang rancak berjalan sekarang. Kemuncaknya pada 9 Mei ini, rakyat akan menggunakan hak demokrasi sepenuhnya bagi menentukan kerajaan yang dipilih untuk menguruskan Negara ini bagi tempoh lima tahun akan datang.

Insya-Allah majlis ini akan kita adakan di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada 13 Julai 2018.

Saya juga ingin melaporkan bahawa bagi HKM MPI PETRONAS 2017, kita telah menerima sebanyak 347 penyertaan bagi 19 kategori yang dipertandingkan. Pecahan penyertaan mengikut kategori dan organisasi ada dilampirkan di dalam press kit yang telah diedarkan oleh Sekretariat.

Saya juga ingin mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua pihak yang sudi menjayakan program tahunan MPI ini. Kepada para wartawan selamat menjalankan tugas sepanjang PRU ke -14 dan kita akan meraikan anda semua pada bulan Julai nanti.

Sekian. Terima kasih. Wabilahitaufikwalhidayah wassalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh.