Ucapan Malam Wartawan 2013

Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya pada majlis penyerahan tajaan dan sumbangan oleh para penaja Malam Wartawan Malaysia 2013 pada 17 April 2013 bertempat di Hotel Istana, Kuala Lumpur jam 11 pagi.

Pertama-tama izinkan saya menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan perkenan dan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama berada di dewan ini  pada  pagi ini bagi satu majlis tahunan yang cukup besar maknanya kepada kami di Malaysian Press Institute (MPI) dan juga komuniti wartawan dan dunia kewartawanan di negara ini.

Saya, bagi pihak rakan-rakan dalam Majlis Pentadbir dan Pemegang Amanah MPI, sesungguhnya bersyukur kerana penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2013 insyaAllah akan kita sempurnakan dalam masa yang terdekat ini, atau lebih tepat lagi selepas selesai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 5 Mei depan.

Rancangan asalnya majlis tahunan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia PETRONAS 2012 itu akan diadakan pada 29 Mac 2013 dengan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai tetamu kehormat. Pejabat Perdana Menteri  kemudian menasihatkan MPI supaya mengadakan malam wartawan itu pada bila-bila masa selepas awal April kerana dibayangkan pada 29 Mac kempen PRU sedang rancak berjalan dan kami memilih 19 April 2013.

Apabila Dewan Rakyat tidak juga dibubarkan pada 25 Mac, selari dengan keputusan Majlis Pentadbir, MPI mengundang YAB Mantan PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai tetamu kehormat kerana kami menjangka PRU akan diadakan pada penghujung Mei. Rupanya jangkaan kami meleset.  Dewan Rakyat dibubarkan pada 3 April, bagi memberi laluan PRU ke-13 diadakan pada 5 Mei dan majlis itu terpaksa ditangguhkan sekali lagi.

Tetapi majlis penyerahan sumbangan yang kita rancang pada pagi ini, kita teruskan.  Syukur alhamdulilah pagi ini 70 orang wakil penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2013 hadir untuk menyerahkan sumbangan masing-masing. Mereka terdiri daripada 31 entiti korporat dan syarikat berkaitan kerajaan serta 1 entiti mewakili Institut Pengajian Tinggi Awam.

Terima kasih saya ucapkan kepada YBhg Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan kerana telah meluangkan waktu berharga anda untuk menyerikan majlis ini. Saya juga amat menghargai sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak yang  terus menerus mendokong Malam Wartawan Malaysia yang merupakan perhimpunan terbesar wartawan dan rakan-rakan korporat yang dianjurkan oleh MPI sejak 1980. Ini bermakna dalam tempoh 33 tahun Malam Wartawan diadakan sokongan sahabat-sahabat korporat MPI tidak pernah pudar atau padam; sebaliknya senantiasa membara.

Bagi majlis tahun ini secara keseluruhannya 47 buah organisasi telah menghulurkan sumbangan mereka bernilai RM 335,500.00.  Jumlah itu tidak termasuk RM300,000.00 yang disumbangkan oleh PETRONAS sebagai hadiah kepada para pemenang 13 kategori hadiah yang ditawarkan oleh Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) edisi 2012. PETRONAS merupakan penaja HKM sejak 1994. InsyaAllah kerjasama PETRONAS MPI ini akan diteruskan selepas kontrak lima tahun penajaan tamat setelah berlangsungnya HKM 2012 ini. Siapa tahu mungkin dengan hadiah yang lebih besar lagi.

Saya juga ingin memaklumkan sebagai menyokong usaha memartabatkan kewartawanan, MPI telah mendayausahakan penerbitan buku yang menghimpunkan karya para pemenang Anugerah Kajai HKM yang pertama kali diperkenalkan pada 1982. 19 buah karya itu telah diantalogikan dalam buku berjudul Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran yang kami persembahkan sebagai cenderahati untuk dibawa pulang kepada para penyumbang pada pagi ini.

Kami di MPI berharap penerbitan buku itu akan membolehkan para wartawan yang bercita-cita untuk menjadi pemenang Anugerah Kajai iaitu hadiah tertinggi HKM dengan hadiah wang tunai RM30,000.00 serta sekeping siling emas seberat 100 gram bernilai RM 20,000.00  pada harga pasaran, mempelajari selok belok untuk menghasilkan penulisan yang bermutu untuk melayakkan mereka menyertai 20 orang wartawan elit yang telah merangkul Anugerah Kajai.

Sukacita ingin saya maklumkan bahawa buku Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran kini digunakan sebagai buku teks bagi kursus kewartawanan penyiasatan di Universiti Utara Malaysia dan juga di Universiti Teknologi Mara.

Sebelum mengakhiri ucapan izinkan saya melaporkan sedikit tentang penyertaan HKM 2012. Bagi tahun yang dinyatakan, 264 orang wartawan telah mengemukakan 491 bahan untuk diadili. Bilangan artikel lebih banyak berbanding peserta kerana bagi kategori-kategori tertentu, seorang peserta diwajibkan untuk menghantar empat artikel sebagai bukti mereka konsisten berkarya sepanjang 12 bulan itu. Seperti tahun lalu, 13 kategori dipertandingkan. Karya terbaik dikalangan 13 kategori itu akan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kajai. Berbanding dengan HKM 2011, penyertaan HKM 2012 merosot sedikit. Bagi 2011, kita menerima 255 penyertaan manakala bilangan artikelnya pula 597.

Tetapi saya berharap penyertaan untuk tahun hadapan, sekiranya kita berjaya menyakinkan PETRONAS untuk menambah hadiah penajaannya, akan dapat ditingkatkan. Ini kerana Majlis Pentadbir MPI sudah memutuskan bahawa selain hadiah utama RM15,000.00 bagi setiap satu kategori,  kita juga akan mencadangkan pemberian dua hadiah sagu hati bagi setiap kategori sebagai galakan untuk lebih ramai wartawan menyertai HKM. Tambahan pula, Panel Hakim  mendapati, karya-karya yang disenaraikan lima tertinggi atau top five yang dinilai pada peringkat akhir adalah bermutu tinggi dan mereka juga layak menerima sedikit hadiah sebagai mengiktiraf usaha mereka itu. Ini adalah antara cadangan yang akan MPI kemukakan kepada PETRONAS nanti. Sama-samalah kita berdoa semoga cadangan ini dipersetujui oleh PETRONAS.

Akhir sekali, sekali lagi terima kasih kepada semua penyumbang yang telah bermurah hati menghulurkan sumbangan masing-masing untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2013. Janganlah serik untuk menyokong program ini pada masa-masa akan datang. Percayalah sumbangan ikhlas anda itu senantiasa kami hargai kerana ia digunakan untuk tujuan yang baik dan mulia iaitu mengiktiraf kerja-kerja terbaik komuniti wartawan Malaysia dengan matlamat untuk mengangkat bidang kewartawanan itu sendiri ke tahap yang lebih tinggi dari segi kualiti. Hanya Allah jualah yang akan membalas budi baik anda semua.

Terima kasih.