Ucapan Penutup Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2013

Penceritaan berpaksikan fakta penting bagi wartawan.

Ucapan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya pada majlis penutup dan penyampaian sijil kepada 24 peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2013 di Pusat Latihan MPI, Jalan Bukit Ledang, Kuala Lumpur pada 25 Januari 2013, jam 10.30 pagi.

Benarlah seperti yang selalu dinyatakan, manusia merancang, Allah S.W.T. menentukan. Sahabat saya, Datuk Mustapa Omar, Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, yang sepatutnya berada bersama kita pada pagi ini, tidak dapat hadir kerana ada tugasan pada saat-saat akhir yang memerlukan kehadiran beliau. Beliau menyampaikan salam takzim kepada kita semua dan memohon maaf kerana tidak dapat menutup Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia. Beliau telah mengamanahkan kepada saya untuk menyempurnakan tugas itu.

Hari ini adalah hari yang membanggakan kita semua di MPI. Program sulung MP1 2013 telah dapat kita sempurnakan dengan jayanya. Saya tidak berhajat untuk bercakap panjang kerana saya tahu ada antara anda yang tidak sabar-sabar untuk menyambung semula tugas anda setelah berada di MPI sejak 7 Januari lalu.

Saya memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah S.W.T. kerana seetelah tiga minggu berlalu, Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia tiba dipenghujungnya sebentar lagi.

Saya ingin mengambil kesempatan awal ini untuk merakamkan penghargaan saya kepada setiap seorang daripada 24 peserta yang telah menyertai program ini. Berdasarkan perbualan ringkas saya dengan para penceramah yang sempat saya temui, anda telah menunjukkan kesungguhan, ketekunan dan memberi perhatian yang tinggi terhadap apa yang cuba mereka sampaikan dalam ceramah masing-masing.

Keberanian anda untuk mengajukan soalan-soalan adalah luar biasa. Ada yang mengatakan mereka tidak menang tangan untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang telah dikemukakan. Sewajarnya begitu kerana sebagai wartawan salah satu tugas kita adalah untuk mengorek dan menggali maklumat. Selain melakukan kerja-kerja penyelidikan, berdasarkan dokumen yang terdapat pelbagai telaga maklumat, salah satu cara untuk mendapatkan maklumat adalah melalui bertanya atau temu ramah. Selagi anda tidak mendapat jawaban yang memuaskan, atau anda merasakan terdapat keraguan dalam jawaban awal yang diberikan, anda jangan berhenti bertanya – bertanyalah dengan tegas tetapi masih dalam batas kesopanan. Percayalah, sebagai seorang tukang cerita atau a story teller, kita wartawan jangan berhenti bertanya; atau malah mempersoalkan setiap kenyataan yang disumbat kepada kita sehinggalah apa yang kita anggap sebagai kebenaran, telah dapat kita temui.

Selain soal plug dan extension wire untuk disambungkan kepada komputer di kabin latihan ini, saya juga menerima banyak maklum balas yang berguna untuk meningkatkan program ini. Misalnya ada yang menyatakan program setengah hari tentang Memahami Perlembagaan Persekutuan dan Pengasingan Tiga Kuasa Negara bersama Profesor Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz, adalah terlalu singkat. Ada permintaan syarahan itu dipanjangkan lagi setengah hari. Begitu juga dengan media dan undang-undang. Puan Mai, selaku moderator program, saya percaya telah mengambil segala pandangan itu dan tentulah dalam merangka program akan datang, beliau akan menimbangkan semua cadangan-cadangan yang telah diketengahkan.

Sebagai wartawan, proses kita belajar adalah berterusan. Saya berharap wartawan-wartawan muda seperti saudara-saudara tidak akan jemu-jemu untuk menajamkan kemahiran kewartawanan – mengumpul dan mentafsirkan maklumat untuk dijadikan bahan-bahan penulisan, baik berita atau rencana.

Saya percaya 5 atau 10 tahun yang akan datang, ada antara saudara yang akan terbang tinggi dalam bidang kewartawanan dan meningkat maju dalam hirarki organisasi berita di mana anda bekerja sekarang, atau malah di tempat-tempat lain. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada anda semua, tidak kira di mana anda berada kelak. Saya tahu bidang ini adalah jambatan untuk memasuki bidang-bidang lain, termasuk politik. Manfaatkan potensi anda sepenuhnya.

Akhirnya, sekali lagi terima kasih kepada anda semua dan organisasi berita yang ada wakili kerana telah menjayakan program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2013 ini. Sebagai tanda perpisahan, MPI menghadiahkan kepada anda tiga buah buku tentang kewartawanan. Salah satu yang penting adalah buku yang berjudul Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran yang merupakan koleksi atau himpunan karya para pemenang Anugerah Kajai Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) sejak 1982. Anugerah Kajai adalah hadiah tertinggi dalam HKM yang menawarkan wang tunai RM30,000.00, sekeping siling emas bernilai RM15,000.00. Saya harap ada antara anda yang akan menjadi Wartawan Kajai suatu hari nanti. Atau setidak-tidaknya menjadi pemenang bagi 12 kategori lain yang dipertandingkan di bawah HKM yang hadiahnya adalah RM15,000.00 bagi setiap kategori.

Terima kasih daun keladi, bila-bila nanti kita jumpa lagi.

Datuk Chamil menyampaikan ucapan penutup Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia pada 25 Januari 2013 di MPI, Kuala Lumpur.