USM Lantik CEO MPI Adjunct Professor

Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang melantik Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya sebagai Adjunct Professor di Pusat Pengajian Komunikasinya.

Pelantikan untuk tempoh setahun berkuatkuasa pada 1 November 2018 bertujuan untuk membolehkan Chamil berkongsi pengalamannya dalam bidang kewartawanan selama 36 tahun dengan para pelajar pusat tersebut.

Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Dr. Shuhaida Md Noor memberitahu Chamil pada satu pertemuan di pejabat beliau pada 7 November 2018 bahawa tugas utamanya sebagai Adjunct Professor adalah untuk memberi khidmat nasihat sewaktu pihak pusat pengajian membuat semakan terhadap karikulum program kewartawanan yang ditawarkan dari masa ke masa.

Menurut beliau semakan itu perlu dilakukan untuk disesuaikan dengan keperluan industri sewaktu negara menuju ke arah industri 4.0 yang berteraskan artificial intelligence. Perkembangan terbaharu teknologi itu turut membabitkan bidang komunikasi umumnya dan kewartawanan khususnya.

Bagi menjamin kebolehpasaran para lulusan Pusat Pengajian Komunikasi, pihak universiti akan senantiasa menyuntik elemen-elemen yang relevan dan program-program yang ditawarkan kepada pelajar.

Menurut Dr. Shuhaida, selain khidmat nasihat, Chamil juga perlu memberi ceramah, syarahan, kuliah bagi program-program seminar dan bengkel yang akan dianjurkan dari masa ke masa.

Beliau berharap Chamil juga berupaya memanfaatkan konteksnya sewaktu berkhidmat dengan pelbagai organisasi media untuk membina jaringan dengan pusat pengajian.

Pada pihaknya, Chamil berharap dapat menyumbang idea-idea baharu dan cadangan bagi dijadikan projek penyelidikan bagi diusahakan oleh pihak pusat pengajian.

Chamil merupakan alumni USM yang memperoleh ijazah PhD dalam bidang komunikasi politik pada penghujung 2014.

Chamil (kanan) berbincang dengan Dr. Shuhaida (tengah), Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM di kampus USM pada 7 November 2018. Turut hadir Dr. Nik Norma Nik Hasan (kiri), Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar Pusat Pengajian Komunikasi.