Wartawan muda dipelawa sertai Zamalah MPI

Malaysian Press Institute (MPI) mempelawa pengamal media, terutama wartawan muda untuk menyertai Zamalah Wartawan 1Malaysia 2017 anjurannya selama dua minggu pada 7 hingga 18 Ogos 2017.

Program yang bertujuan untuk mendedahkan para wartawan dengan isu-isu kenegaraan, undang-undang media selain mengasuh mereka dengan kemahiran menemuramah dengan cara yang betul serta menghasilkan karya-karya kewartawanan bermutu tinggi akan diadakan di salah sebuah hotel di Shah Alam.

Penolong Pengurus Latihan MPI, Norhafiza Kamaludin berkata permohonan untuk mengikuti program itu hendaklah dikemukakan kepada MPI melalui organisasi berita masing-masing.

Menurut beliau sehingga 20 orang peserta – muda dari segi usia dan pengalaman akan dipilih untuk mengambil bahagian.

Norhafiza memberitahu, antara topik yang akan disentuh dalam program itu termasuklah cabaran dan peranan wartawan pada era digital; teknik menemuramah; kewartawanan penyiasatan, media dan undang-undang; penulisan rencana dan naratif berkesan; kewartawanan foto; kewartawanan multimedia; menghasilkan berita online; peranan tiga kuasa negara dan merealisasikan potensi diri melampaui bidang kewartawanan.

10 orang penceramah yang terdiri daripada wartawan berpengalaman dan ahli akademik dalam bidang berkaitan media dan komunikasi ditampilkan sebagai penceramah.

Mereka termasuklah Datuk Mustapa Omar, Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Firdaus Abdullah; Profesor Datuk Salleh Buang; Pengarang Perunding Kanan Latihan dan Hal Ehwal Perundangan The Star, Dr. T Selva; Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Madya Dr. Jeniri Amir; Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz; mantan jurufoto Reuters, Zainal Abdul Halim, Penolong Pengarang Berita Utusan Online, Hazli Mohammed Hassan dan mantan penyampai berita TV3, Yusanani Yushak.

Selain kuliah, para peserta juga akan menjalani latihan amali dengan mengadakan temuramah dengan tokoh, dan lawatan ke lokasi.

Norhafiza memberitahu bagi menjayakan Zamalah Wartawan 1Malaysia, kos sebenar yang akan ditanggungkan oleh MPI adalah sebanyak RM6,000 bagi seorang peserta, meliputi penginapan dan makan minum sepanjang mengikuti program 14 hari itu.

Bagaimanapun MPI akan mengenakan yuran penyertaan sebanyak RM1,750 bagi ahli MPI iaitu penjimatan sebanyak RM4,250 dan RM3,000 bagi bukan ahli iaitu penjimatan RM3,000.

Zamalah Wartawan 1Malaysia diperkenalkan oleh MPI pada 2011. Ia pertama kali diadakan di Kuala Lumpur kemudian di Kuching pada 2012, di Kuala Lumpur pada 2013 & 2014, di Kota Kinabalu pada 2015, dan di Alor Setar Kedah pada 2016.

Disertakan tentatif program dan borang penyertaan untuk makluman.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila berhubung dengan Puan Fiza / Puan Ambia ditalian 03-2095 2013/14 dan email ke norhafiza_mpi@yahoo.com / ambia_mpi@yahoo.com / trainingmpi2945@gmail.com.