Wartawan selesai masalah rakyat

Kuala Lumpur: Dunia kewartawanan mempunyai tanggungjawab besar bukan sahaja sebagai medium penyampai maklumat, bahkan ruang bagi membina keharmonian dan menyelesaikan masalah rakyat.

Setiap hasil dipaparkan sama ada menerusi media cetak atau elektronik akan menjadi wadah serta penilaian masyarakat, sekali gus berupaya mempengaruhi pemikiran mereka.

Justeru, Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid, berkata wajar bagi setiap wartawan memastikan kandungan maklumat atau sumber serta rujukan diterima itu benar-benar sahih dan boleh dipercayai sebelum ditulis.

Panduan asas itu, katanya harus dikuasai sepenuhnya sebagai latihan untuk menjadi seorang wartawan bertanggungjawab dan berjaya.

Penulisan kena ada peraturan dan kaedahnya. Maklumat yang direka-reka, salah.. itu bukan etika kewartawanan, katanya berucap merasmikan program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2013 di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI yang juga Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia anjuran MPI memasuki siri ketiga tahun ini membabitkan 24 peserta mewakili pelbagai agensi media. Program bermula semalam dan berakhir 25 Januari depan.
Mior Kamarul berkata wartawan muda khususnya perlu menguasai perkara asas itu termasuk kemahiran dalam penulisan bagi menghasilkan bahan berita berkualiti, selain memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam pada itu, katanya, wartawan perlu menghindari penulisan yang boleh mencetuskan sentimen kebencian dan kekecohan, terutama ketika negara berdepan pelbagai ruang media alternatif seperti blog dan portal media.

Sumber: bharian.com.my, 9 Januari 2013