Jadilah wartawan yang objektif – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

 TEKS UCAPAN Y.A.B DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI, TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA, PADA MAJLIS PENGANUGERAHAN TOKOH WARTAWAN NEGARA, HADIAH KEWARTAWANAN MALAYSIA MPI- PETRONAS 2014 ANJURAN MALAYSIAN PRESS INSTITUTE (MPI), KHAMIS, 10 SEPTEMBER 2015, JAM 2.10 PETANG DI HOTEL PULLMAN KUALA LUMPUR BANGSAR.

Assalamualaikum

  1. Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapat kita berada di dewan ini bagi menyempurnakan Majlis Penganugerahan Tokoh Wartawan Negara Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI – PETRONAS atau lebih dikenali sebagai HKM 2014.
  1. Kita berikan satu tepukan gemuruh kepada PETRONAS yang bertindak sebagai penaja HKM mulai 1994 hingga sekarang dengan nilai penajaan sebanyak RM 300,000 setahun.
  1. Seperti kita sedia maklum, sebentar lagi dua wartawan terbilang Malaysia akan diangkat menjadi Tokoh Wartawan Negara sekali gus, menjadikan jumlah mereka yang menerima anugerah ini sejak ia diperkenalkan pada 1988 meningkat kepada 11 orang.
  1. Mereka merupakan nama-nama besar dunia persuratkhabaran Malaysia pasca Merdeka yang merupakan perintis dan penerus tradisi kewartawanan yang kita warisi hari ini. Mereka termasuklah, antara lainTan Sri A. Samad Ismail, Tun Fuad Stephen, Datuk IShak Haji Mohamad atau Pak Sako, Tan Sri Lee Siew Yee, Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan Nordin, Tan Sri Zainuddin Maidin, Datuk C. C. Liew dan Datuk A. Kadir Jasin.
  1. Saya ingin mengambil kesempatan awal ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Ahmad Rejal Arbee yang dinamakan Tokoh Wartawan Negara 2014 dan juga kepada keluarga Allahyarham Zainon Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Pak Non, yang diisytiharkan sebagai Tokoh Wartawan Negara (Posthumous).
  1. Saya percaya penganugerahan tertinggi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS yang diberi kepada Datuk Ahmad Rejal Arbee dan Allahyarham Zainon Ahmad tentulah dibuat sebagai menghargai sumbangan par excellence masing-masing dalam membangunkan dan memajukan bidang kewartawanan dalam organisasi berita tempat mereka pernah berkhidmat.
  1. Hakikat bahawa sejak anugerah Tokoh Wartawan Negara ini diperkenalkan 27 tahun yang lalu, baru 11 orang sahaja nama besar dunia kewartawanan menerima anugerah ini membuktikan anugerah ini tidak diberi kepada sembarangan wartawan.
  1. Hanya mereka yang benar-benar berjasa besar dalam bidang kewartawanan, berdasarkan empat kayu ukur yang dihuraikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya dalam ucapan alu-aluan sebentar tadi, layak diberi pengiktirafan tersebut.
  1. Adalah wajar penilaian tinggi dan penapisan ketat untuk memberi gelaran kepada seseorang Tokoh Wartawan Negara ini dikekalkan begitu.
  1. Mungkin ramai wartawan yang memulakan kerjaya dari bawah sebagai pemberita kadet yang sampai ke puncak kerjaya masing-masing sebagai pengarang atau ketua pengarang. Tetapi bukan semua layak bergelar tokoh.Sebahagian mereka mungkin sekadar memanaskan kerusi yang diduduki.Kita tidaklah mahu gelaran tokoh ini, apabila diberi kepada mereka yang tidak menepati kriteria yang ditetapkan, dipersendakan oleh mana-mana pihak.

Saudara-saudari yang saya hormati.

 

  1. Dalam apa-apa bidang sekalipun, baik pendidikan, perkhidmatan awam, politik dan perniagaan, kepimpinan individu khususnya sang peneraju memainkan peranan utama dalam mencorakkan hala tuju organisasi yang mereka ketuai.
  1. Karakter yang kuat, dedikasi, kesungguhan, keberanian dan penerimaan ramai menjadi antara faktor yang menentukan setakat mana seseorang itu boleh mengembangkan bakat dan keupayaannya. Dalam industri media, elemen-elemen di atas juga tidak terkecuali.
  1. Saya yakin dua tokoh wartawan yang kita raikan pada petang ini, iaitu Datuk Ahmad Rejal Arbee dan Allahyarham Zainon Ahmad, berada dalam kedudukan dan reputasi mereka sekarang adalah kerana nilai-nilai tinggi dan mutu yang ditunjukkan dalam karier mereka.
  1. Mereka bergelumang selama berdekad-dekad untuk memancarkan aspek penghidupan rakyat negara ini melalui bidang kewartawanan yang mereka ceburi. Jasa mereka itu, yang diperkuatkan lagi dengan semangat, konsistensi dan disiplin, sewajarnya dihargai dan mendapat pengiktirafan daripada kita.
  1. Golongan wartawan diakui memainkan peranan yang penting dalam pembinaan negara bangsa. Melalui tulisan-tulisan, mereka membangkitkan kesedaran, memuji, mengkritik secara membina, mempertahankan kebaikan dan berupaya juga meruntuhkan kejahatan.
  1. Mereka juga dapat kita harapkan untuk memerhatikan dan menganalisis segala perkembangan dan pergolakan yang berlaku dalam negara dengan menjadi mata dan telinga rakyat, semuanya dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.
  1. Saya yakin tokoh wartawan seperti Datuk Ahmad Rejal dan Allahyarham Zainon Ahmad berkarya dan menguruskan organisasi media yang mereka pimpin dengan cita-cita murni yang saya sebutkan tadi.
  1. Kita perlu membina daya kepimpinan serta etika kewartawanan seperti yang mereka tunjukkan sekiranya kita ingin melihat perdebatan dan penyaluran mesej-mesej di Malaysia menjadi lebih matang dan terarah kepada matlamat untuk melahirkan masyarakat yang berhemah, bermaklumat dan masyarakat yang membuat keputusan-keputusan penting berdasarkan nilai-nilai progresif.
  1. Pembentukan peribadi nasional oleh para wartawan yang ada pada zaman-zaman awal kemerdekaan menjadi harapan kerajaan, diharapkan dapat terus menjadi aspirasi kaum penulis di negara ini pada milenium baru ini. Wartawan di Malaysia perlu terus menyumbang untuk melahirkan masyarakat bermaklumat yang merupakan antara tanggungjawab terpenting kewartawanan.
  1. Kita tidak boleh berkarya sebagai wartawan di Malaysia menggunakan kaca mata barat, topeng orang luar dan berasaskan nilai-nilai sejagat semata-mata. Berkarya sebagai wartawan di Malaysia hendaklah dengan kefahaman untuk membina, positif, bermaruah, berdasarkan panduan dan kebijaksanaan tempatan serta berjiwa Malaysia.
  1. Para wartawan dalam peranan mereka yang pelbagai dimensi kena berhati-hati supaya tidak menjadi penyampai mesej yang mengadu domba, memesongkan isu dan menimbulkan kacau bilau. Jadilah wartawan yang objektif, jujur, dinamis dan peniup ketenangan.Janganlah jadi wartawan yang kering jiwa dan tidak nasionalistik.
  1. Banyak yang dapat kita belajar daripada tokoh-tokoh besar wartawan di Malaysia dan kita perlu memastikan supaya semangat dan sumbangan murni mereka dapat dipupuk secara berterusan dalam diri kumpulan wartawan generasi muda di negara ini.
  1. Beberapa tahun lalu, MPI ada menerbitkan sebuah buku meraikan Tokoh Wartawan Negara yang diberi judul Terbilang Potret Tokoh Wartawan Negara. Sudah tiba masanya edisi baharu buku Terbilang itu dikemaskinikan untuk memasukkan kisah hidup dua Tokoh Wartawan Negara yang kita raikan pada hari ini.
  1. Bagaimanapun, saya percaya inisiatif bagi memperingati jasa-jasa tokoh tersebut perlu diperluaskan. Mungkin MPI dengan sokongan dana tertentu boleh memikirkan untuk bekerjasama dengan pusat-pusat pengajian media di universiti-universiti negara ini untuk memulakan siri kajian biografi tokoh-tokoh itu dan siri penyelidikan industri media di Malaysia.
  1. Zaman telah berubah. Masa beredar. Yang patah akan tumbuh, yang hilang pasti berganti. Dalam kewartawanan, fitrah yang sama juga berlaku. Peranan yang dimainkan oleh golongan wartawan di Malaysia sejak dari zaman sebelum merdeka perlu diteruskan. Isu-isu mungkin bertukar tetapi prinsip berpegang kepada kebenaran dan pada masa yang sama mementingkan kemaslahatan umat yang menjadi tiang seri peranan itu hendaklah kekal utuh dan menjadi motivasi kepada setiap orang yang menamakan dirinya wartawan.
  1. Tidak dapat kita elakkan bahawa para wartawan perlu menjadi kumpulan yang memantau kuasa dan pelaksanaan kuasa. Anggapan bahawa media sebagai cabang keempat kerajaan selepas eksekutif, legislatif, dan kehakiman mungkin memberi golongan wartawan suatu keberanian dan dorongan untuk melaksanakan tugas-tugas mereka.
  1. Bagaimanapun, dalam melaksanakan tanggungjawab fundamental itu, prinsip-prinsip imbangan dan kefahaman tentang latar belakang isu-isu yang timbul mestilah difahami oleh para wartawan. Undang-undang berkaitan media yang wujud di negara ini diperkenalkan suatu ketika dahulu berlandaskan hasrat-hasrat tertentu dan ketika digubal ia membawa mesej untuk mewujudkan negara Malaysia lebih harmoni.
  1. Wartawan yang bijaksana tahu bagaimana untuk bergerak dalam lingkungan undang-undang itu kerana mereka faham bahawa tiada kebebasan media mutlak di dunia ini, hatta di negara-negara barat yang paling bebas sekali pun. Idea kawalan kendiri media mungkin boleh difikirkan kerana ia juga adalah sama pentingnya dengan kawalan undang-undang, tetapi janganlah sehingga dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu.
  1. Kebebasan mesti diiringi dengan tanggungjawab. Ingatlah kata-kata bahawa pena itu lebih tajam daripada mata pedang, dan sebagaimana juga pedang, pena yang dikawal oleh orang yang tidak bertanggungjawab, boleh membunuh dan meruntuhkan sebuah negara.
  1. Saya berharap para wartawan di Malaysia sentiasa melihat sesuatu isu kebebasan secara komprehensif, adil, mengambil kira kepentingan umum dan bukan dari sudut sensasi semata-mata. Sumbangan terpenting para wartawan yang rapat asosiasi mereka dengan kaum penulis dan cendekiawan adalah menjadikan rakyat Malaysia lebih matang.
  1. Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur dan aman damai manakala rakyatnya cintakan kedamaian. Inilah ciri utama negara kita, iaitu karakter yang terbentuk daripada acuan pendidikan dan peranan media.
  1. Sungguhpun begitu, ada usaha oleh sesetengah pihak sejak akhir-akhir ini, khususnya media baharu, untuk menggambarkan Malaysia sebagai kucar-kacir, porak peranda dan sebuah negara yang gagal. “Trial by media”, iaitu perbicaraan oleh media tentang betul salah seseorang, adalah suatu perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku dan mungkin tidak beretika.Ada banyak kes menunjukkan”trial by media” boleh menjerumuskan kita semua ke dalam ketidakadilan dan konflik terbuka.
  1. Ingatlah kisah-kisah sejarah bagaimana tulisan dan ucapan menghasut orang ramai melakukan keburukan berdasarkan cerita bohong, kelicikan dan manipulasi boleh meruntuhkan sebuah tamadun.
  1. Saya berharap kumpulan wartawan bukan arus perdana itu menyedari bahawa kebebasan mereka itu jangan hingga meruntuhkan negara yang telah kita bina sampai masyarakat kita menjadi seperti kacang lupakan kulit, sanggup mencoreng arang di dahi sendiri.
  1. Saudara-saudari wartawan dan orang media, saya berharap saya tidak disalahertikan apabila memperkatakan isu ini. Saya bukan menyentuh soal ini kerana mahu menyekat kebebasan, tetapi saya ingin saudara-saudari membuat renungan betapa pentingnya berkarya dan mengendalikan organisasi media dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap negara dan kepentingan rakyat, ke arah melahirkan sebuah bangsa yang bersatu padu.
  1. Tidak ada formula magik untuk melahirkan wartawan yang sedemikian melainkan kita meletakkan asas-asas yang kuat di peringkat keluarga, sekolah, universiti dan dalam pengurusan organisasi media. Identiti dan jati diri perlu diperkukuhkan.
  1. Komuniti wartawan di negara-negara barat, misalnya melihat negara mereka dengan kaca mata tertentu, dan mereka pula menilai Malaysia dengan perspektif budaya, agama dan politik masing-masing.
  1. Dalam arus globalisasi yang diwarnai dunia internet tanpa sempadan yang kadangkala membuatkan orang yang lemah hilang daya untuk menguasai perdebatan awam, wartawan-wartawan yang tidak kuat jati diri akan mudah terpengaruh dengan adu domba sehingga terlupa bahawa kewartawanan bukan sekadar medan untuk melahirkan pendapat dan berdebat, tetapi juga merupakan satu bisnes maklumat bernilai berbilion ringgit yang memberikan pekerjaan kepada beribu-ribu orang.
  1. Di Malaysia, kita perlu melahirkan wartawan yang sentiasa melihat gambar yang lebih besar dalam konteks pembinaan negara kita, dan mengetepikan perdebatan yang meruntuhkan. Kita tidak boleh ada wartawan yang dalam berkarya sanggup melihat “kalah jadi abu, menang jadi arang”. Mudah-mudahan perkara ini akan menjadi perhatian wartawan-wartawan di Malaysia dan bersama-sama kerajaan kita dapat mencipta lebih banyak kejayaan untuk rakyat.
  1. Saya yakin dan percaya insya-Allah bidang kewartawanan kita akan menempa lebih banyak kejayaan dalam melahirkan masyarakat yang adil, progresif dan makmur. Semoga legasi tokoh-tokoh seperti Datuk Ahmad Rejal dan Allahyarham Zainon Ahmad yang kita raikan pada hari ini dapat menjadi pedoman kepada generasi wartawan seterusnya.

Sekian.Terima kasih.