Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2015 diadakan di Sabah

Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia adalah salah satu daripada tiga program latihan kewartawanan yang dirancang diadakan oleh Malaysian Press Institute (MPI) di Sabah pada 2015.

Dua lagi program ialah Bengkel Penulisan Pelancongan/Pengembaraan dan Bengkel Kewartawanan Pembangunan Luar Bandar.

Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia dijadual diadakan selama dua minggu pada 18 hingga 31 Januari 2015 manakala penganjuran dua lagi program akan ditentukan kemudian. Sehingga 25 orang wartawan muda dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan dibabitkan dalam program tahunan itu.

Kerajaan Negeri Sabah, Jabatan Penerangan Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Sabah Journalists Association (SJA) telah menyatakan persetujuan untuk menjayakan Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia itu.
Persetujuan ini dicapai pada pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya semasa kunjungan beliau ke Kota Kinabalu pada 1 hingga 3 Oktober 2014. Penolong Pengurus Latihan MPI, Puan Norhafizah Kamaluddin, turut serta dalam lawatan itu.

Semasa berada di Kota Kinabalu, mereka telah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Tuan Haji Almain Ajrul, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, Dekan Fakulti Ilmu Kemanusiaan, Kesenian dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Hamdan Adnan serta Pemangku Presiden SJA, Frances Fahir.

Selain itu, mereka juga mengadakan pertemuan makan tengah hari dengan pengarang kanan akhbar-akhbar utama Sabah.

Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia pertama yang dengan jayanya diadakan selama sebulan telah dilancarkan pada 21 Februari 2011 di Kuala Lumpur oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddian Siaraf, yang mewakili menterinya, Datuk Seri Rais Yatim (kini Tan Sri).

Program kedua Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia, juga sebulan, telah diadakan di Kuching pada 2012, diikuti dengan dua program lagi di Kuala Lumpur.

Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia di Kota Kinabalu pada 2015 adalah edisi ke-5.
Menurut Chamil program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia diperkenalkan oleh MPI dengan tujuan utama – pertama untuk mempertajamkan kemahiran kewartawanan mereka yang baru berjinak-jinak dengan bidang penulisan dan pelaporan berita dan rencana; tujuan kedua adalah untuk meningkatkan pengetahunan kenegaraan dalam kalangan wartawan yang baharu menceburi bidang itu.

Selain itu program itu akan melengkapkan wartawan muda dengan kemahiran menghidu berita, mewawancara, mengumpul maklumat dan menyediakan laporan berita dan rencana yang berkesan; meningkatkan pemahaman wartawan muda mengenai media dan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan, interaksi antara tiga cabang kuasa negara itu legislatif, eksekutif dan judisiari serta agensi-agensi yang bernaung di bawah setiap satu cabang kuasa itu.

Program itu juga akan memberi kesempatan kepada wartawan muda dari Sabah, Sarawak dan Semanjung mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat kesetiakawanan yang kekal dalam kalangan mereka, di samping memberi peluang kepada mereka bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman dengan tenaga pengajar/penceramah kursus yang terdiri daripada wartawan dan ahli akademik tersohor negara.

Untuk memenuhi hasrat itu, tenaga pengajar kursus yang terdiri daripada para editor kanan media akan diundang sebagai penceramah jemputan. Senarai mereka akan dimuktamadkan kemudian.

Selain kuliah, modul program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia menitikberatkan pengajaran, perbincangan dan latihan praktikal di dalam dan di luar kelas.

Para peserta juga akan berpeluang mengadakan sesi pertemuan/dialog dengan para pemimpin negeri, antaranya Pesuruhjaya Polis Sabah, Speaker Dewan Undangan Negeri serta para menteri negeri yang berkaitan dengan pembangunan dan ekonomi. Satu pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah juga akan diatur, jika diizinkan.

Para peserta juga berpeluang untuk menjalani latihan praktikal bagi sesi kewartawanan foto dan kewartawanan multimedia dengan mengunjungi destinasi pelancongan yang menarik di negeri di bawah bayu itu.

 1. Chamil (tengah) berbincang dengan Joniston (kiri) dan Hamdan (kanan) di Lembaga Pelancongan Sabah di Kota Kinabalu. Datuk Joniston Bangkuai ialah Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu.

2. Datuk Joniston Bangkuai, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu.

3. Dari kanan: Wolis Juinik, Tuan Haji Almain Ajirul (Pengarah Penerangan Sabah), Chamil dan Norhafiza bergambar kenangan selepas pertemuan di Kota Kinabalu.

4. Tuan Haji Almain (kanan) melayan mesra Chamil (tengah) dan Norhafiza sewaktu mereka mengunjungi beliau di Kota Kinabalu untuk berbincang bagi mengadakan program latihan untuk pengamal media Sabah.

5. Chamil (kiri) dan Tuan Haji Almain: pertemuan yang mengeratkan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) dengan Jabatan Penerangan Sabah dalam bidang latihan kewartawanan untuk negeri di bawah bayu itu. Foto-foto ehsan Wolis Juinik, Jabatan Penerangan Sabah.