Malam Kinabalu Shell Press Awards edisi ke-20 catat sejarah

Satu lagi sejarah tercatat dalam mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan Sabah pada 1 Mei 2012.

Dengan berlangsungnya Kinabalu Shell Press Awards pada malam itu, maka anugerah yang pertama kali diperkenalkan pada 1992 itu genap berusia 20 tahun.

Jadi tidaklah menghairankan apabila pihak penganjur Sabah Journalists Association (SJA) yang diterajui oleh wartawan veteran Datuk Joniston Bangkuai berazam untuk menjadikan majlis itu sesuatu yang amat istimewa dann bermakna untuk fraterniti pengamal media di negeri itu.

Dan hasrat beliau itu menjadi kenyataan. Shell Kinabalu Press Awards bukan sahaja meriah, tetapi turut menampilkan penghibur anak-anak tempatan yang hebat.

Tidak kurang menarik adalah persembahan mini drama yang dijayakan oleh para wartawan Sabah itu sendiri. Persembahan itu menggambarkan sejarah 20 tahun kegemilangan Shell Kinabalu Press Awards menurut kacamata dua orang wartawan veteran Sabah yang sudah bersara menggunakan kaedah flashback.

Apa yang lebih membanggakan tentulah hakikat bahawa dalam tempoh dua dekad itu, anugerah itu berjaya meningkatkan mutu kewartawanan Sabah di samping secara berterusan memberi pengiktirafan kepada karya-karya berkualiti yang dihasilkan oleh golongan wartawannya.

Terpahat dalam sejarah penganjuran malam penyampaian hadiah kewartawanan adalah kehadiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman untuk kali ke-10 berturut-turut sebagai tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang merupakan tetamu kehormat pertama Kinabalu Shell Press Awards pada 1992. Ketika itu, Pairin adalah Ketua Menteri Sabah.

Malaysian Press Institute (MPI) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chamil Wariya, pada majlis itu mengucapkan tahniah kepada Datuk Joniston dan SJA, Shell Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah kerana bekerjasama untuk menjayakan anugerah itu secara berterusan selama 20 tahun.

Sebagai entiti berkecuali, MPI telah diamanahkan sebagai sekretariat penghakiman Kinabalu Shell Press Awards sejak ia diasaskan. Sewaktu pertama kali diadakan pada 1992, sekitar 30 penyertaan diterima, tetapi bagi anugerah 2011, pihak penganjur menerima 253 penyertaan.

1. Antara tetamu VIP yang hadir: Dari kanan – Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, Datuk Chamil, Pengarah Penerangan Sabah, Haji Almain, Victor Klang, pengurus Shell, Datin Lucy sedang berbual dengan Datuk Jonistion (paling kiri) dan Dr. Alison Goligher, Naib Presiden Pengeluaran Shell Antarabangsa bagi Asia Pasifik.

2. Dari kiri: Haji Almain, Chamil dan Datuk Hamza berbual dengan Alison.

3 & 4. Tetamu VIP bergambar kenangan dengan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

5. Persembahan wartawan mencerita sejarah 20 tahun Kinabalu Shell Press Award.

6  Para pemenang bergambar kenangan dengan Datuk Seri Musa Aman.

7. Memotong kek hari jadi  ke 20 Kinabalu Shell Award oleh Datuk Seri Musa, Alison dan Datuk Joniston, disertai oleh pegawai-pegawai kanan SJA yang lain.

8. Tetamu VIP sedang menikmati juadah.