Perdana Menteri tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2012

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan menjadi tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2012 anjuran Malaysian Press Institute (MPI)  yang akan diadakan di Hotel The Royale Chulan di sini pada 30 Mac 2012.

Selain menyampaikan amanat kepada 800 orang tetamu, sebahagian besarnya ketua-ketua pengarang, pengarang-pengarang kanan dan wartawan, Perdana Menteri juga akan menyampaikan hadiah kepada para pengamal media yang memenangi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM)  MPI – PETRONAS 2011.

Persetujuan Datuk Sri Najib menghadiri MWM telah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Abdul Aziz bin Kasim  dalam sepucuk surat bertarikh  10 Februari 2012 kepada Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya.

Ini adalah kali kedua Datuk Sri Najib, atas sifatnya sebagai Perdana Menteri, hadir sebagai tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia  iaitu acara tahunan yang diadakan sejak 1980 untuk mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan Malaysia setiap tahun.

Kali pertama adalah pada 6 April 2009 iaitu tiga hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April. Ketika itu sesuai dengan bermulanya pentadbiran baru Datuk Sri Najib, beliau telah menyampaikan ucapan utama bertema DASAR, POLITIK DAN MEDIA– LANGKAH BARU KE HADAPAN.

Bagi Malam Wartawan 2012, pihak penganjur mengusulkan Perdana Menteri berbicara tentang Cabaran Kewartawanan Malaysia Era Digital.

HKM edisi 2011, sama seperti HKM 2010 dan 2009, menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM300,000.00 tajaan PETRONAS.  Terdapat 12 kategori dalam HKM dan pemenang setiap kategori akan menerima habuan bernilai RM15,000.00. Kategori-kategori itu adalah: Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail,  Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang, Laporan Berita Cemerlang, Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang, Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang, Penulisan Rencana Cemerlang, Kolumnis Cemerlang, Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang, Kewartawanan Foto Cemerlang, Esei Foto Cemeralng, Berita Video Cemerlang dan Dokumentari Video Cemelrang.

Peserta terbaik di kalangan penyertaan 12 kategori itu pula akan dinobatkan sebagai Pemenang Hadiah Kajai yang akan membawa pulang RM30,000.00 dan syiling emas seberat 50 gram. Di kalangan wartawan Hadiah Kajai yang mula diperkenalkan oleh HKM pada 1982 merupakan anugerah tertinggi kewartawanan nasional. Sehingga 2010,  19 orang telah dinobatkan sebagai Wartawan Kajai.

Selain itu, MPI juga menguruskan Anugerah Tokoh Wartawan Negara yang jika terdapat pencalonan, penganugerahan akan diadakan pada majlis berasingan. Kali terakhir anugerah ini diberikan ialah pada 2010. Penerimanya ialah Datuk C.C Liew, bekas ketua pengarang Sin Chew Daily yang kini  pengarah urusan Sin Chew Media Corporation.

Catatan: Kenyataan media MPI ini dikeluarkan pada 1 Mac 2012.