MPC Lancar Anugerah Media ADI 2026, MPI Sekretariat

Petaling Jaya, 15 April 2026 — Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) hari ini melancarkan Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) 2026 serta memperkenalkan dua program Diploma Profesional Kewartawanan berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.

Dalam majlis sama, Malaysian Press Institute (MPI) dilantik sebagai sekretariat pelaksanaan Anugerah Media ADI 2026.

Tiga kategori utama Anugerah Media ADI 2026 merangkumi Media Cetak/Portal Berita, Media TV/Radio/Portal (Video Dalam Talian) dan Media Sosial (Video Pendek), selari dengan evolusi landskap media masa kini.

Selain itu, dua program baharu iaitu Diploma Profesional Kewartawanan AI dan Diploma Profesional Kewartawanan Keselamatan Siber diperkenalkan bagi memperkukuh keupayaan pengamal media dalam menghadapi cabaran teknologi dan keselamatan digital, dengan pelaksanaan secara dalam talian jangkaan selama tiga hingga enam bulan.

Kedua-dua program diploma ini juga diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui badan pensijilan London Examination Board (LEB) serta dibangunkan secara kolaboratif bersama rakan akademik strategik, UTMSPACE Services Sdn. Bhd., bagi memastikan kandungan latihan memenuhi piawaian industri dan akademik semasa.

Penyertaan terhad kepada 40 peserta yang dicalonkan oleh organisasi masing-masing bagi memastikan kualiti pembelajaran yang optimum serta menjamin kesesuaian dan impak kepada organisasi media hasil daripada program ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail berkata, penganjuran Anugerah Media ADI bukan sekadar pengiktirafan, tetapi satu usaha strategik memperkukuh peranan media dalam pembangunan negara.

“Media bukan sekadar menyampaikan maklumat. Media membentuk persepsi, membina kefahaman dan mempengaruhi keyakinan. Dalam konteks ADI, media berperanan sebagai penghubung antara dasar dan rakyat, antara pelaksanaan dan pemahaman,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kewartawanan berkualiti perlu melangkaui pelaporan asas.

“Kita mahu kewartawanan yang membantu rakyat memahami — bukan sekadar mengetahui. Kita mahu laporan yang memberi perspektif — bukan sekadar sensasi.”

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam berkata, Anugerah Media ADI merupakan pendekatan strategik dalam memanfaatkan peranan media untuk menyokong agenda pembangunan negara.

“Melalui pengiktirafan terhadap hasil kerja kewartawanan yang berimpak tinggi, kita bukan sahaja meraikan kecemerlangan media, malah menggalakkan penyampaian maklumat yang lebih jelas, tepat dan berasaskan data,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa inisiatif ADI menyokong pembangunan bakat dan produktiviti negara secara menyeluruh.

“ADI bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pembangunan bakat, malah membantu industri membangunkan tenaga kerja yang lebih kompeten serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara,” katanya.

Kerjasama MPC, MPI dan rakan media diyakini memperkukuh pembangunan bakat negara, dengan sasaran pertumbuhan produktiviti 3.6% menjelang 2030 serta melahirkan tenaga kerja berdaya saing dan industri berdaya tahan.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest