MPI, IKIM Bincang Kerjasama Strategik Perkukuh Peranan Media dan Kefahaman Islam

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Malaysian Press Institute (MPI) mengadakan perbincangan bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam memperkukuh peranan media, khususnya dalam penyampaian maklumat berkaitan Islam serta isu-isu semasa kepada masyarakat.

Perbincangan tersebut turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, yang memberikan pandangan mengenai hala tuju dan kepentingan kerjasama antara institusi agama dengan organisasi media dalam memperkukuh penyampaian maklumat yang tepat, berimbang dan bertanggungjawab.

Mewakili MPI ialah Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong dan Pengurus Besar MPI, Puan Norlida Abdul Halim, manakala IKIM diwakili Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil serta Pengarah Pusat Media IKIM, Tuan Haji Ahmad Fuad Mat Ali.

Kerjasama berkenaan dilihat penting dalam membantu pengamal media memahami isu berkaitan agama dengan lebih menyeluruh, sekali gus memastikan pelaporan yang dihasilkan berasaskan fakta, beretika serta mengambil kira sensitiviti masyarakat.

Perbincangan itu turut menyentuh potensi penganjuran latihan, seminar, wacana dan program pembangunan profesional secara bersama bagi menyediakan ruang pertukaran ilmu dan kepakaran antara pengamal media, akademik serta institusi berkaitan hal ehwal Islam.

Dalam era media digital yang menyaksikan penyebaran maklumat berlaku dengan pantas, kerjasama antara IKIM dan MPI juga dilihat mampu menyumbang kepada usaha memperkukuh kualiti kandungan serta meningkatkan keupayaan media dalam menyampaikan maklumat berkaitan Islam kepada masyarakat secara tepat dan bertanggungjawab.

Pertemuan tersebut menjadi platform penting bagi kedua-dua institusi untuk mengenal pasti ruang kerjasama yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang, selaras dengan keperluan memperkukuh ekosistem media serta meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu agama dan semasa.

#mpicommit

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter