Activity
Kolaborasi MPI-ELMU Tingkatkan Kefahaman Wartawan Mengenai Undang-Undang Penguatkuasaan

Kolaborasi MPI-ELMU Tingkatkan Kefahaman Wartawan Mengenai Undang-Undang Penguatkuasaan

BANDAR ENSTEK, NILAI, 4 Februari 2025 – Wartawan di negara ini perlu didedahkan dengan ilmu, kefahaman dan kemahiran menulis berkaitan undang-undang penguatkuasaan bagi memastikan laporan berita yang dihasilkan lebih tepat, beretika dan tidak terdedah kepada risiko salah tafsir atau implikasi perundangan.

Dalam satu pertemuan antara Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) dan delegasi Malaysian Press Institute (MPI) di Bandar Enstek, Nilai, Naib Canselor dan Ketua Eksekutif ELMU, Datuk Dr Kassim Noor Mohamed menegaskan bahawa pemahaman terhadap undang-undang bukan sekadar satu kelebihan, tetapi satu keperluan dalam profesion kewartawanan.

Beliau menjelaskan bahawa wartawan memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman masyarakat terhadap isu-isu perundangan dan penguatkuasaan, justeru mereka perlu mempunyai asas pengetahuan yang kukuh mengenai aspek perundangan bagi memastikan laporan yang diterbitkan tidak tersasar daripada fakta sebenar. Tambahnya, kefahaman yang mendalam dalam bidang ini bukan sahaja dapat meningkatkan kredibiliti laporan, malah melindungi wartawan dan organisasi media daripada tindakan undang-undang akibat kesilapan dalam pelaporan.

Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Haji Ainol Amriz Ismail serta Pengurus Besar MPI, Norlida Jamain. Dalam perbincangan itu, MPI menyatakan komitmen untuk berkolaborasi dengan ELMU dalam menjayakan program ini melalui pertukaran kepakaran dan ilmu dalam bidang masing-masing. Kerjasama strategik ini diharapkan dapat menyediakan satu platform khusus bagi wartawan untuk memahami dengan lebih mendalam aspek perundangan yang berkaitan dengan tugas mereka, terutama dalam menghasilkan laporan yang lebih berkualiti dan bertanggungjawab.

Dalam era digital yang semakin pantas, keupayaan wartawan untuk memahami prinsip keadilan, hak asasi serta prosedur penguatkuasaan undang-undang adalah satu keperluan yang mendesak. Kesilapan dalam melaporkan fakta boleh membawa kesan yang besar bukan sahaja kepada individu yang terlibat tetapi juga kepada organisasi media itu sendiri. Kes seperti laporan berat sebelah, penyiaran berita yang belum disahkan atau maklumat yang boleh menjejaskan siasatan mahkamah perlu dielakkan bagi memastikan integriti kewartawanan terus terpelihara.

Kolaborasi antara MPI dan ELMU ini dijangka dapat membuka ruang bagi penganjuran kursus, bengkel serta latihan yang lebih tersusun untuk membekalkan wartawan dengan pengetahuan yang lebih mendalam dalam bidang ini. Pada masa yang sama juga, penguatkuasa akan dibekalkan dengan kefahaman dan kemahiran komunikasi media yang lebih tersusun dan tepat. Wartawan juga digalakkan untuk mendalami dokumen-dokumen rasmi seperti akta dan peraturan berkaitan serta berinteraksi dengan pakar perundangan bagi memastikan laporan yang diterbitkan menepati prinsip kewartawanan beretika.

Melalui usaha kolaboratif ini, kedua-dua pihak dapat meningkatkan tahap profesionalisme mereka dalam perundangan dan penguatkuasaan serta literasi media dan kandungan digital, yang lebih berwibawa, tepat dan bebas daripada sebarang unsur spekulasi yang boleh mengundang kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak yang terlibat, tetapi juga kepada masyarakat yang bergantung kepada laporan berita yang berkredibiliti dan telus dalam memahami isu-isu berkaitan perundangan dan penguatkuasaan.